HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 November 2012

S’gor sedia tawar jawatan Ketua PBT pada awam

FREE MALAYSIA TODAY

 

Sekitar DUN Selangor 

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sedia menawar semula jawatan Ketua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada orang awam bagi mengelak wujud campur tangan kerajaan Pusat dan menyulitkan gerak kerja dalam pentadbiran.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata cadangan dikemukakan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) disifatkan mempunyai asas kerana jawatan adalah ditawarkan secara terbuka kepada awam.

“Apa yang dicadangkan itu memang berasas. Dalam undang-undang, jawatan Datuk Bandar merupakan satu jawatan yang terbuka. Ini bermakna orang awam termasuk orang profesional pun boleh dilantik sebagai Datuk Bandar di bandar raya.

“Tapi ini akan melibatkan banyak isu. Kerajaan sekarang belum lagi bercadang untuk menggunakan cara itu. Jika kerajaan Pusat selalu menganggu jadi mungkin kerajaan negeri akan mengkaji perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kim Sin yang mencadangkan agar kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk membuka tawaran jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT kepada awam secara kontrak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Ronnie, undang-undang di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memperuntukkan jawatan Datuk Bandar atau YDP PBT dilantik pihak berkuasa negeri.

Namun, perlantikan itu tertakluk kepada prinsip peminjaman yang diperuntukkan dalam pekeliling perkhidmatan Bil 12 tahun 2008.

Cadangan ini timbul apabila wujud kekeliruan kuasa dalam pelantikan jawatan tersebut seperti yang berlaku pada Datuk Bandar MBPJ dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Awal bulan lalu dilaporkan, Mohamad Roslan menerima surat arahan penempatan yang bertugas sebagai Datuk Bandar MBPJ ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Namun Ronnie berkata status jawatan Mohamad Roslan hanya akan diputuskan sekembalinya Datuk Bandar berkenaan dari Mekah.

Manakala isu peminjaman YDP MPS, Datuk Zainal Abidin A’ala menimbulkan perselisihan di antara bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan negeri baru-baru ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui surat bertarikh 15 Oktober lepas memaklumkan bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk menggantikan Zainal Abidin dengan pegawai lain.

Pertukaran Zainal Abidin ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebelum ini menimbulkan kontroversi termasuk tuduhan yang mengatakan beliau ditukarkan dalam tempoh 24 jam atas kenyataannya berhubung pembinaan projek kondominium, Dolomite Park Avenue, di Batu Caves.

Tiada ulasan: