HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2012

UBS Bank sedang siasat skandal Musa

 
Nama Ketua Menteri Sabah dikaitkan dengan siasatan kes ‘money laundering’ berjumlah USD90 juta di Switzerland. 



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah mendedahkan bahawa UBS Bank di Switzerland telah membuka siasatan kes pengubahan wang haram berjumlah USD90 juta yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Nama Musa Aman dikaitkan dengan siasatan kes ‘money laundering’ (pengubahan wang haram) berjumlah USD90 juta di Switzerland.

“Musa dikatakan sebagai salah seorang pemegang akaun yang disiasat,” katanya di hadapan lebih 5,000 orang pada ceramah Merdeka Rakyat di Padang Bola Apartment Damansara Damai, di sini malam tadi yang dipetik dari laman web Kelab Greenboc.

“Bukan itu sahaja, kes melibatkan Musa Aman juga kini akan dibuka di Hong Kong melibatkan wang pemberian oleh jutawan balak Michael Chia berjumlah RM40 juta,” katanya yang ahli biro politik PKR itu.

Sivarasa berkata, puluhan laporan dibuat terhadap pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun hingga kini tiada seorang pun didakwa.

“Bila kita buat laporan, dia tutup fail. Bila kita tanya di Parlimen, mereka tak jawab,” jelasnya.

Beliau juga menyentuh berkenaan kekayaan yang dikumpul Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya selama lebih 20 tahun memerintah negeri itu.

“Harta atas nama Taib Mahmud sahaja RM15 bilion. Dicampur dengan nama anak-anak dan adik beradiknya yang berjumlah RM6 bilion, bermakna keseluruhan harta keluarga Taib Mahmud berjumlah RM21 bilion.

“Macam mana dia dapat? Kalau nak cerita hal rasuah pemimpin Umno-BN, ceramah sampai esok pun tak habis. Kerajaan Malaysia ini seperti orang yang sudah nyanyuk. Tapi mereka takkan boleh tutup mata rakyat (dari penyelewengan),” tegasnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Tiada ulasan: