Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Najib Tun Razak yang sepatutnya menjawab dakwaan serius ahli perniagaan Deepak Jaikishan terhadap keluarga perdana menteri itu yang didakwa turut  melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Bukan (Datuk Seri) Zahid (Hamidi) tetapi Najib sendiri yang sepatutnya menjawab dakwaan itu dalam ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno ke-66 (hari ini)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Zahid yang juga naib presiden Umno bahawa beliau akan menjawab dakwaan Deepak terhadap keluarga Najib dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Lim yang juga ahli Parlimen Ipoh berkata, Najib sepatutnya menjawab dakwaan itu atas tiga sebab:
  • Pertama, dakwaan Deepak melibatkan keluarga Najib, yang mana dia mendakwa telah membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk campurtangan perdana menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu projek kementerian pertahanan pada 2005 yang bernilai RM100 juta sewaktu Najib merupakan menteri pertahanan.
"Memandangkan Najib bukan sahaja hadir tetapi juga mengepalai Umno, beliau sepatutnya menjawab kerana apa sahaja yang dikatakan Zahid tidak lebih sekadar khabar angin dan tidak mempunyai kewibawaan dan legitimasi," katanya.
  • Kedua, hubungkait Deepak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya.
Katanya, Deepek telah meluahkan kekesalan melibatkan diri dalam rancangan membuatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat Akuan Bersumpah (SD) kedua, menarik balik SD pertama yang mengaitkan Najib dengan warga Mongolia Altantuya.

"Di dalam satu wawancara Deepak mengatakan yang beliau terlibat dalam kes Bala bagi membantu “keluarga perdana menteri”.

"Sekali lagi, jawapan Zahid terhadap dakwaan Deepak tidak akan memuaskan kerana hanya Najib yang sesuai menjawab dengan berwibawa semua dakwaan itu," katanya.
  • Ketiga, ini merupakan batu uji kepada ucapan dasar presiden Umno itu kelmarin yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak sepatutnya diberikan peluang untuk memenangi pilihan raya Umum ke-13 memandangkan Umno/BN mampu membawa kejayaan besar memerintah Malaysia sejak lima dekad lalu – salah satunya adalah “keampuhan institusi negara”.
Lim mendakwa, keburukan dakwaan skandal Deepak/Bala/Altantuya adalah pengakuan memalukan, bukan kepada kejayaan tetapi korupsi dan memusnahkan “keampuhan institusi negara” kerana mendakwa,  Malaysia tidak mungkin terjerumus ke keadaan buruk dalam kes pembunuhan Altantuya sekiranya pelbagai institusi negara memelihara dan menegakkan integriti, kebebasan dan profesionalisme mereka.

"Adakah Najib bersedia menyangkal tuduhan-tuduhan terhadapnya, kerajaannya dan negara dengan menyerahkan dirinya untuk satu siasatan awam yang menyeluruh dan bebas terhadap skandal Deepak/Bala/Altantuya dan mengumumkannya semasa penggulungan perhimpunan agung Umno esok?" soalnya.

Menurut Lim, sekiranya Najib bersedia berbuat demikian maka permohonan maafnya di dalam ucapan dasarnya bagi pihak kepimpinan Umno atas sebarang kekhilafan adalah jujur.
"Jika tidak, permohonan maafnya tidak lebih daripada sekadar retorik," tegas Lim lagi.

1. Zahid jawab dakwaan Deepak esok
2. Deepak dakwa ditekan lembaga pengarah syarikatnya
3. Deepak dakwa bayar keluarga Najib bagi urusan tanah
4. Deepak kesal terlibat dengan SD Bala