HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Disember 2012

Projek penempatan semula Bukit Botak siap Mac depan

FREE MALAYSIA TODAY
 
Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan masalah penempatan yang membelenggu rakyat lebih dari 20 tahun.


 
PETALING JAYA: Kejayaan pembinaan projek penempatan semula Bukit Botak di Selayang yang akan siap Mac tahun depan adalah bukti kerajaan negeri Selangor komited membela hak rakyat, kata Menteri Besar  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata tidak seperti dahulu, rakyat sekarang yakin dengan keupayaan dan kebolehan kerajaan negeri setelah menyaksikan bagaimana masalah penempatan yang membelenggu rakyat lebih dari 20 tahun telah diselesaikan.

“Bila buat cadangan penyelesaian pada 2008, mereka pada mulanya tidak percaya kerana telah tertipu oleh (kerajaan) dahulu di mana mereka diminta tandatangan untuk beri hak mereka kepada pemaju yang akhirnya tanah mereka tergadai.

“Sekarang rumah telah siap dan surat rasmi pun telah diberikan, rakyat nampak yang kita boleh melaksanakan apa yang kita janji.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas keyakinan mereka terhadap kerajaan,” kata Menteri Besar ketika berucap di majlis penyerahan tawaran rasmi kepada penduduk  Bukit Botak di tapak perumahan di Selayang pagi ini.

Abdul Khalid  menyerahkan surat rasmi tawaran memiliki kepada 16 penduduk Bukit Botak yang mewakili 961 yang hadir untuk menerima surat tawatan rasmi memilik rumah berkembar teres satu tingkat.

Menurut kenyataan akhbar pejabat Menteri Besar, beliau turut melawat tapak projek rumah dimana lebih 1,422 unit rumah dijangka siap bersama sijil sah pendudukan (CF) pada Mac 2013.

Dalam sidang media, Abdul Khalid berkata sehingga kini 1,020 pemilik rumah telah disahkan layak untuk memiliki rumah di Bukit Botak  manakala 400 orang yang lain sedang menjalani proses kelayakan yang diuruskan oleh Pejabat Tanah Gombak.

Projek  penempatan semula Bukit Botak mula dibangunkan PKNS pada September 2010 setelah kerajaan negeri Selangor mengambil alih tanah kawasan berkenaan yang pada awalnya diberi hak pemilikan kepada sebuah syarikat pemaju swasta untuk dibangunkan.

Projek perumahan Bukit Botak adalah di antara projek terbengkalai yang telah diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Sehingga kini 29 peratus daripada 49,451 unit perumahan terbengkalai yang ditinggalkan pentadbiran Umno-BN dahulu telah disiapkan.

Tiada ulasan: