SINAR HARIAN
GEORGETOWN - Anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang didakwa
memukul seorang wartawan dalam kejadian di pangsapuri di Jalan Perak di
sini 30 Dis lepas, hari ini menyatakan kesediaan memohon maaf kepada
mangsa.
Lim Ah Chai, 52, berkata beliau berharap dapat bertemu secara bersemuka
dengan wartawan akhbar Guan Ming Daily, Ang Kean Siang bagi tujuan itu.
Katanya beliau juga telah hadir memberi keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semalam.
Lim ditemui pemberita pada sidang media yang diadakan Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo di sini.
Sementara itu, Jagdeep berkata beliau akan berusaha mengatur pertemuan kedua-dua pihak dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota PPS agar bertindak
secara rasional dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan
sesuatu masalah.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Ang, 32, cedera dipukul empat lelaki
ketika membuat liputan mengenai kejadian seorang wanita ditemui mati di
pangsapuri berkenaan.
Ang juga mendakwa kumpulan lelaki itu merosakkan kameranya kerana tidak
berpuas hati beliau mengambil gambar wanita yang mati berkenaan.-
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan