KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mempersoal apa jaminan polis supaya mereka tidak mengulangi insiden provokasi dan mengasari petugas media seperti Bersih 3.0, meskipun dikehendaki memakai pas khas polis pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Sabtu ini.
“Kita alu-alukan usaha polis itu. Keselamatan wartawan perlu dijaga agar tidak terjadi keganasan seperti dalam Bersih 3.0 tahun lalu,” kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Apa yang kita bimbangkan mereka yang tidak memakai pas, iaitu orang awam akan dipukul sesuka hati. Pas itu seolah-olah membenarkan untuk perkara itu berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Kata Shamsul, polis perlu hentikan keganasan atau menghalang sebarang perhimpunan aman kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
“Jika ingin mencapai taraf negara maju, sepatutnya tiada halangan atau sekatan ganas. Polis patut membantu menjaga keselamatan orang awam,” katanya.
“Sudah banyak contoh perhimpunan yang berlangsung secara aman hasil kerjasama polis dan orang awam. Seperti Himpunan 901, tiada masalah. Jadi biarlah HKR pada Sabtu ini berjalan aman,” jelasnya.
HKR akan berlangsung 12 Januari ini di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, bermula jam 2 hingga 5 petang.
Ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan tuntutan.
Salah seorang wartawan, Radzi Razak terpaksa dimasukkan ke hospital akibat cedera dibelasah polis pada Himpunan Bersih 3.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan