HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Januari 2013

Umno Politikkan Temuduga 'Giant'

 Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita12/temuduga%20giant.jpgDewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus (DPPKKN) membantah sekeras-kerasnya tindakan mengadakankan sesi temuduga terbuka pengambilan pekerja Giant Hypermarket yang dibuat di Pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus pada 4 & 5hb Januari 2013.

Tindakan tersebut adalah sangat tidak releven dan tindakan salahguna kuasa oleh kepimpinan Kerajaan Negeri pimpinan Umno dan Barisan Nasional(BN) kerana Giant Hypermarket bukanlah syarikat milik Umno dan tidak ada kena mengena dengan Umno sebagai sebuah parti politik.

DPPKKN percaya tindakan terdesak Umno dalam usaha mengekalkan kuasa kerajaan yang semakin terhakis terutamanya dikalangan pengundi muda ini, tidak akan berlaku tanpa arahan dan restu tangan-tangan ghaib kepimpinan Kerajaan Negeri pimpinan Umno hari ini.

Adalah sangat tidak wajar sebuah syarikat swasta diperkudakan oleh Umno untuk mendapat laba politik (political mileage) dengan memerangkap anak-anak muda yang sedang mencari pekerjaan untuk mendekati Umno dengan cara yang sangat tidak “gentleman” dalam berpolitik. DPPKKN sangat kesal dengan tindakan ini, tidak cukup dengan pelbagai kemudahan agensi-agensi kerajaan dipergunakan oleh Umno semahunya, hari ini syarikat swasta pula menjadi mangsa kerakusan itu.

Tindakan mempolitikkan aktiviti syarikat-syarikat swasta ini jika dibiarkan berterusan akan memberi gambaran dan imej yang buruk kepada pesekitaran ekonomi negeri dan negara kerana tindakan “mengarahkan” temuduga terbuka di Pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus ini pasti menakutkan para pelabur akan campurtangan politik dalam urusan perniagaan mereka.

DPPKKN mempersoal tindakan ini kerana pelbagai prasarana dan kemudahan kerajaan yang berada di sekitar Kawasan Parlimen Kuala Nerus ini boleh digunakan oleh Giant Hypermarket untuk tujuan sesi temuduga tersebut seperti Stadium Tertutup dan Gelanggang Silat, Kompleks Sukan Gong Badak, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan beberapa buah sekolah berhampiran.

DPPKKN sekali lagi menyatakan bantahan sekeras-kerasnya kepada tindakan terdesak Umno, Kuala Nerus ini khususnya kerana ia adalah tindakan salahguna kuasa dan cubaan untuk memperkudakan Giant Hypermarket sebagai alat memancing undi oleh Umno, BN. Kaedah berpolitik seumpama ini WAJIB dihentikan serta-merta untuk keharmonian sistem demokrasi negara dan berpolitiklah secara “anak jantan”.

Sekian,

Ridzuan Bin Haji Hashim,
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu/
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus.


Tiada ulasan: