HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Februari 2013

BR1M bukti kegagalan BN tingkat pendapatan rakyat

   

 DETIK DAILY


 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menjadi kebanggaan pentadbiran Najib sekarang sedang rancak diagih-agihkan buat tahun kedua di seluruh negara. Para pemimpin BN beranggapan pemberian bantuan tunai bernilai RM500 bagi rakyat pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan RM250 bagi individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan membuktikan keprihatinan kerajaan BN pusat terhadap bebanan dihadapi rakyat.

Malah belum pun sempat BR1M 2.0 diagih-agihkan kepada rakyat, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa BR1M akan diteruskan dan besar kemungkinan ditambah kepada RM1000 jika BN terus diberi mandat mentadbir negara.

Umum mengetahui bahawa BR1M 2.0 dan banyak lagi agihan tunai yag diberikan kepada beberapa segmen masyarakat dijadikan bahan kempen pemimpin BN menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung dalam tempoh dua bulan ini.

Tanpa rasa segan dan malu, wang negara digunakan oleh pemimpin BN bagi kempen politik dan majlis-majlis penyerahan BR1M 2.0 di seluruh negara di penuhi bendera BN dan ucapan-ucapan politik para pemimpin BN termasuk di negeri-negeri yang BN menjadi pembangkang.

Bagaimanapun tatkala pemimpin BN khususnya Perdana Menteri dan Timbalannya menjelajah ke seluruh negara bagi mengambil manfaat politik daripada pengagihan BR1M, perkara pokok yang gagal disedari oleh BN adalah program BR1M membuktikan bahawa majoriti rakyat negara ini masih dibelenggu dengan pendapatan rendah dan sederhana rendah sekaligus mempertikaikan statistik rasmi kerajaan bahawa pendapatan perkapita negara telah meningkat.

Jika statistik pendapatan perkapita negara itu boleh dipertanggungjawabkan, ini bermakna jurang pendapatan di kalangan rakyat sebenarnya semakin melebar. Ia juga membawa maksud mereka yang sedia kaya bertambah kaya manakala mereka yang sedia miskin makin bertambah miskin.

Setakat ini belum dikeluarkan secara rasmi statistik penerima bantuan BR1M di seluruh negara.

Bagaimanapun bagi BR1M 1.0 yang diagihkan tahun lepas, kerajaan BN telah membelanjakan RM1.92 bilion wang negara untuk program tersebut. Ia membabitkan 3.8 juta atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

Perdana Menteri ketika menjawab soalan Ahli Dewan Rakyat menjelaskan sejumlah 4.78 juta permohonan telah diterima dengan penerima yang berjaya adalah seramai 3.74 juta orang atau hampir 80 peratus daripada keseluruhan permohonan, manakala 972,000 pemohon atau 20 peratus lagi gagal.

Selangor mencatatkan jumlah penerima tertinggi BR1M 1.0 iaitu 13 peratus daripada keseluruhan penerima manakala dari segi peratusan isi rumah, Kelantan adalah penerima tertinggi iaitu 84 peratus daripada keseluruhan isi rumah.

Walaupun belum ada statistik rasmi berhubung penerima BRIM 2.0, laporan Bernama memetik kenyataan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kedah, Dato' Mohd Johari Abdul bahawa penerima BR1M 2.0 di negeri itu bertambah sebanyak 204,000 membawa ke jumlah lebih 570,000. Sejumlah 363,000 penerima BR1M dicatat di Kedah pada 2012.

Jika trend di Kedah ini dijadikan ukuran, jumlah rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah di negara ini semakin bertambah. Faktor utamanya adalah pendapatan isi rumah yang menurun.

Penurunan pendapatan isi rumah ini akan diparahkan lagi dengan peningkatan harga barangan keperluan harian apatah lagi jika kerajaan meneruskan cadangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika terus diberi mandat mentadbir negara!

Hakikatnya BR1M bukanlah suatu 'produk' yang boleh dibanggakan BN sebagai barangan kempen. Ia sebenarnya lambang kegagalan BN dalam meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat juga dalam mengurus ekonomi negara.

Tiada ulasan: