KUALA LUMPUR- Ramai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kecewa dengan penyelarasan gaji baru yang dibuat kerajaan sehingga ada di kalangan mereka dipotong gaji RM170 hingga RM200 sebulan.
Difahamkan penyelarasan tersebut dibuat 'senyap-senyap' bermula bulan ini tanpa ada sebarang makluman rasmi dari mana-mana pihak berwajib.
Ianya melibatkan seluruh ATM daripada sistem baru kepada sistem asal sebelum ini.
Seorang anggota yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, beliau hanya menyedari perkara itu selepas melihat gaji bulan ini yang dimasukkan pada 25 Februari lalu.
"Saya terkejut bila tengok jumlah gaji saya yang baru masuk berkurangan hampir RM200.
"Sebelum ini saya ada dengar khabar angin kata nak diselaraskan, tetapi tiada hitam putih. Tiba-tiba sekarang sudah dipotong," katanya dengan nada kecewa kepada Harakahdaily.
Menurut Wan, beliau sebelum ini bergaji Peringkat 2 (P2) namun gaji terbarunya kini kembali kepada Peringkat 1 (P1).
Nasib sama juga katanya turut dihadapi ramai lagi rakan-rakannya yang juga bergaji P2 yang lain.
Bahkan, difahamkan juga, selain pemotongan yang bermula bulan ini, gaji yang telah diperolehi hampir setahun dahulu dengan skim P2 itu juga akan dipotong secara berperingkat.
"Sampai sekarang kami tidak tahu apakah sebabnya gaji kami dipotong. Tiada sebarang penjelasan.
"Kami tak tahu nak mengadu kat siapa. Jumalah yang dipotong itu pada kami sangat besar dan menjejaskan pendapatan kami.
"Sekarang ini moral dan semangat kerja kami jatuh teruk," katanya.
Harakahdaily kemudian mendapatkan maklumat daripada Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat).
Presidennya, Leftenan Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar ketika dihubungi, turut mengesahkan maklumat tersebut.
"Memang ramai yang mengeluh kerana perbelanjaan bulanan lari, (pemotongan) dibuat secara mengejut dan tergesa-gesa. Mungkin ini pejimatan kepada kerajaan tapi membebankan anggota yang berpangkat rendah.
"Kekurangan RM170 ke RM200 sebulan adalah membebankan khususnya yang tinggal di kawasan bandar. Kerabat mohon kajian dan semak semula penyelarasan ini agar tidak menginaya anggota," katanya.
-Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan