HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Siasat penyelewengan peruntukan baiki jalan di Sabah

Harakahdaily,



Jalan ke kampung Muhibbah dari Miri ke Bintulu yang teruk

MIRI: Masalah jalanraya di luar bandar Sarawak masih lagi teruk walaupun sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan dalam sidang parlimen.

Peruntukan berjuta-juta ringgit sehingga mencecah berbillion ringgit telah diperuntukan untuk jalanraya di luar bandar namun masalah jalanraya di Sarawak masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Demikian kata Yang Dipertua PAS Miri, Haji Jofri Jaraiee dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Kita sudah sering kali mendengar ada wakil rakyat atau menteri berjanji untuk mengatasi masalah ini tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku, kalau ada pun hanya tampalan keatas jalan yang sedia ada saja," kata Jofri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Beliau mempersoalkan, "mengapa perkara ini boleh berlaku? Dimana kesilapannya, adakah berlaku ketirisan atau sebagainya?"

Perkara ini, katanya, perlu disiasat sehingga ke akar umbi untuk mengetahui siapa sebenarnya yang melakukan penyelewengan keatas peruntukan yang berbilion ringgit tersebut.

Antara jalanraya yang menghadapi masalah teruk sehingga kini adalah jalan ke Kampung Muhibbah, Ladang 3, KM 76 Jalan Lama Miri-Bintulu.

95 peratus penduduk adalah bangsa Bugis, majoriti asal Indonesia dan mendapat kewarganegaraan zaman Tun Rahman Yaakub.

Mereka bekerja sebagai petani dan juga bekerja dengan syarikat perladangan kelapa sawit.

Walaupun mereka ini penyokong kuat kerajaan BN (Barisan Nasional) tetapi keadaan jalanraya di kampung mereka masih lagi teruk dan jauh ketinggalan.

Mereka seolah-olah masih lagi tinggal dalam keadaan 40 tahun yang lalu dengan keadaan jalan yang berlumpur, becak sewaktu hujan dan keadaan jalan berlubang.

"Sepatutnya dengan adanya peruntukan yang berbilion ringgit kawasan luar bandar Sarawak mendapat jalanraya yang elok dan sesuai untuk semua kenderaan tetapi malangnya walaupun sudah berpuluh tahun di bawah kerajaan BN, keadaan jalanraya masih lagi teruk dan tidak selamat untuk pengguna jalanraya," kata Jofri.

Beliau mengesa agar pihak kerajaan segera mengatasi masalah ini, jangan hanya berjanji perkara yang sama setiap kali menjelang musim pilihanraya tetapi apabila selesai pilihanraya perkara ini senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.

"Semoga kerjasama dengan pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dari berlarutan.

"Kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," tegas beliau.

Tiada ulasan: