KUALA LUMPUR — Barisan Nasional hari ini mengakui lawan mereka mendahului dalam perang media sosial tetapi menolak perkara tersebut boleh diterjemahkan bagi menggambarkan sokongan pengundi.
“Pengundi mungkin tidak mengikut kami di laman media sosial kerana kami adalah kerajaan dan mungkin mereka berfikir kami memiliki media arus perdana.
“Pihak satu lagi mungkin mempunyai kelebihan tapi tidak bermakna mereka (pengundi) akan memilih undi mereka,” kata setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kepada wartawan semasa perasmian kempen “Skuad BN”.
Semalam, pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Pilihan Raya 2013 akan menjadi “pilihan raya sosial media” pertama di Malaysia sambil memberi contoh laman seperti Facebook dan Twitter akan menjadi kunci utama kepada perang untuk mempertahankan Putrajaya.
Pada bulan lalu juga, Najib memberitahu Fareed Zakaria, wartawan kanan CNN dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland, pengundi semakin terdidik dan berfikiran kritikal. serta mengakui media sosial memberi kesan baik dan buruk bagi Umno.
BN kehilangan dua per tiga majoriti tradisi dalam Parlimen pada pilihan raya 2008, menyaksikan empat buat negeri — Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor jatuh ke tangan PAS, PKR dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat (PR).
Najib menegaskan pengundi pada pilihan raya akan datang menekankan apa yang kerajaan mahu lakukan pada masa hadapan.
Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com.
Duapuluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Najib mempunyai 1.3 juta ‘peminat’ dalam laman Facebooknya, berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu 428,371 ‘peminat’.
Dalam masa laporan ini ditulis, Najib mempunyai 1.2 juta ‘pengikut’ Twitter, berbanding Anwar 234,607.
Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.
Pada pilihan raya ke-13 yang akan dilangsungkan selewat-lewatnya April, akan menyaksikan pertarungan sengit, dengan kajian dari Universiti Malaya menyaksikan pengundi muda mewakili majoriti dalam pengundi atas pagar.-themalaysianinsider.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan