HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Polis: 'Kita akan tamatkan stand-off Lahad Datu sekarang'

SINAR HARIAN

LAHAD DATU - Polis memberi jaminan bahawa insiden pencerobohan kumpulan bersenjata rakyat Filipina di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari sini, akan ditamatkan secepat mungkin.

Tanpa menyatakan bilakah sebenarnya ia akan berakhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, episod yang bermula sejak 12 Februari lepas akan diselesaikan secepat mungkin dan menasihati orang ramai supaya tidak bimbang.

Ditanya tindakan yang akan diambil selepas tamatnya tempoh yang diberi pihak berkuasa kepada kumpulan itu Ahad lepas, Khalid sekadar berkata: "Tunggu dan lihat".

Katanya, tindakan boleh diambil pada bila-bila masa terhadap 150 orang penceroboh yang masih bertahan dan enggan keluar dari Kampung Tanduo.

"Kita akan tamatkan stand-off sekarang ini. Cuma saya menasihati orang ramai supaya jangan bimbang dan jangan ragu-ragu. Insya-ALLAH, kita selesaikannya dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Apabila ditanya sama ada proses rundingan masih berlaku dengan kumpulan tersebut, Khalid berkata: "Saya tidak mahu lagi mengulas perkara (rundingan) itu".

Khalid juga berkata, polis tidak tahu-menahu mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya empat anggota keluarga Kiram (kerabat Kesultanan Sulu) telah ditangkap oleh pihak berkuasa.

Terdahulu selepas menerima taklimat mengenai perkembangan insiden itu di Komtek Sahabat 16 Batalion 17, Pasukan Gerakan Am (PGA) Felda Sahabat, Khalid menjelaskan kepada pemberita bahawa insiden pencerobohan kumpulan yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu masih di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, isu berkenaan masih ditangani sebagai isu keselamatan negara dan operasi turut melibatkan agensi keselamatan lain.

"Keadaan di sini masih seperti biasa dan tujuan lawatan saya pagi ini semata-mata untuk menemui anggota saya di lapangan," katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokthar dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Khalid berkata, setakat ini tidak terdapat sebarang unsur luar yang campur tangan dalam usaha polis menyelesaikan isu berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan sebarang campurtangan seperti itu mengganggu urusan keselamatan negara. - Bernama

Tiada ulasan: