HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2013

PR janji pertembungan ‘satu lawan satu’ dengan BN dalam PRU 13

TERKINI
Oleh Mohd Farhan Darwis
 
SHAH ALAM — Pelancaran manifesto Pakatan rakyat (PR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SAAC) di sini menyaksikan pemimpin PR menggesa rakyat terus menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang, dan menegaskan PR akan menentang BN di semua 797 kerusi Dewan undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dengan kaedah “satu lawan satu”.

“Kita telah menyediakan ramuan-ramuan untuk kemenangan pilihan raya ... kita sudah menyelesaikan pembentukan jentera pilihan raya parti masing-masing,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli dalam ucapannya semasa membentangkan manifesto di hadapan 1,500 perwakilan di sini.

“Daripada 798 kerusi DUN dan Parlimen, kita telah selesaikan semuanya, hanya sebilangan kecil lagi untuk diselesaikan ... Insyaallah, kita akan masuk PRU kali ini dengan keadaan kita satu lawan satu,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Azmin Ali menegaskan, rakyat seharusnya bersedia menolak BN kerana PRU 13 jelasnya adalah antara 'rakyat” dan “elit penguasa yang korup”. “Kita perlu siap siaga untuk mara ke medan tempur sebagai satu saf yang rapi serta tersusun sebaik sahaja semboyan perang dibunyikan.

“Pertempuran kali ini adalah di antara rakyat dan elit penguasa korup ... antara yang mempertahankan hak dan yang melindungi kebatilan,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

“Ini kalilah,” tegasnya lagi.

Ahli Parlimen Gombak itu juga turut memuji ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “pusat graviti”.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'the centre of gravity' ... pengalaman beliau mentadbir serta hubungan baik beliau di peringkat antarabangsa dengan pimpinan negara mahupun pimpinan gerakan Islam seluruh dunia menjadi ketakutan rejim korup UMNO-BN.”

Jelas Azmin lagi, beliau yakin kemenangan akan menjadi milik PR dalam PRU 13 dan mereka sekarang sedang memasuki fasa terakhir persiapan menjelang ibu segala pilihan raya tersebut, justeru menasihati sahabatnya dalam PR agar tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Saya optimis bahawa dalam pertempuran kali ini kemenangan akan bersama rakyat ... dan kini, kita telah berada di pusingan terakhir, ‘at the last lap.’

“Kerana itu kita tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia seakan mengkhianati cita-cita perubahan dan sengaja mengkhianati amanah rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Pelancaran manifesto tersebut turut menyaksikan wakil pemimpin daripada PAS, DAP, dan PKR hadir memberikan sokongan kepada manifesto pertama mereka selaku pakatan.

Manifesto ketika Pilihan Raya 2012 diumumkan berdasarkan parti dalam PR, dan bukannya sebagai sebuah manifesto kolektif sebagai sebuah parti politik.

Antara yang hadir termasuklah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, serta kepimpinan tertinggi pembangkang tersebut.

Tiada ulasan: