HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Manifesto: SPR serah kepada Pakatan tentukan mekanisme

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada hak untuk mencampuri urusan parti politik membabitkan soal manifesto dan oleh itu, menyerahkan kepada Pakatan Rakyat (PR) sendiri menentukan mekanisme jika diberi kebenaran muncul di televisyen semasa Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, oleh itu terpulanglah kepada parti politik masing-masing memikirkan bagaimana manifesto atau janji mereka itu hendak disampaikan kepada rakyat.

"Manifesto ini adalah urusan parti masing-masing untuk menjanjikan apa-apa kepada rakyat untuk mempengaruhi pengundi. Jadi masing-masinglah mencipta manifestonya," ujar Aziz.

Beliau ditanya sama ada manifesto PR, yang tidak didaftarkan itu, diiktiraf atau tidak oleh SPR apabila ia ditayangkan di stesyen-stesyen televisyen kelak sebagai memenuhi sebahagian daripada syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Dalam hal ini katanya, ia terpulang kepada kebijaksanaan parti politik itu sendiri bagaimana ia mencari mekanisme untuk menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia.

"Sebab mereka ini ada manifesto bersama. Saya tidak tahu bagaimana mereka hendak bentangkan.

"Tetapi mereka sebagai parti politik, mungkin mereka tahu caranya," kata Aziz.

Menurutnya, pihak penyiar sudah tentu akan memanggil ketiga-tiga parti ini untuk membentangkan manifesto masing-masing selepas Parlimen dibubarkan kelak.

Garis panduan juga akan turut diberikan.

"Masa ia hendak membentangkan manifesto nanti, saya tidak pastilah bagaimana ia hendak dibentangkan kerana yang akan dijemput ialah parti Pas untuk membentangkan manifesto, PKR, DAP juga akan dijemput kerana mereka ialah parti-parti politik yang berasingan," ujar Aziz lagi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan manifesto Pakatan Harapan Rakyat itu ialah manifesto bersama perikatan itu.

Penerangan mengenainya akan dibuat bersama oleh ketiga-tiga parti itu menerusi kempen dan program anjuran mereka.

Ditanya bagaimana ia akan dibentangkan menerusi stesyen televisyen seperti yang dituntut sebelum ini, Saifuddin bagaimanapun menyatakan kehampaannya sambil berkata, pakatan pembangkang itu sudah terbiasa berkempen tanpa bantuan media arus perdana.

"Buat masa ini, kami sudah pun terlalu biasa berkempen tanpa menggunakan RTM. Bagi ruang atau tidak, kami akan teruskan kerja macam biasa," katanya

Tiada ulasan: