HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

PBB mahu rekod bersih berulang

 
Pada masa sama Alfred meminta semua jentera PBB sentiasa menjaga disiplin parti sepanjang PRU 13.



BETONG: Parti Bumiputera Bersatu (PBB) berharap rekod bersih BN memenangi kerusi majoriti dalam setiap pilihan raya umum akan berulang lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yangn juga Timbalan Presiden PBB berkata, sokongan rakyat di setiap peringkat sangat diperlukan bagi membolehkan kemenangan akan terus menjadi milik  BN.

“Penerimaan rakyat adalah lambang kekuatan jentera parti dan sokongan yang cukup padu oleh setiap lapisan masyarakat bahawa kita mampu mengekalkan majoriti yang besar untuk calon BN yang bertanding pada PRU 13 ini nanti.

“Ini kerana, BN sahaja yang mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas iaitu untuk membantu rakyat dan bukannya berjanji kosong sebagaimana yang sering dilakukan oleh pihak pembangkang semasa berkempen,” katanya  semasa berucap di majlis  taklimat persediaan PRU 13 di Dewan Sukan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Pada masa sama Alfred meminta semua jentera PBB sentiasa menjaga disiplin parti sepanjang PRU 13.
Beliau  berkata, sikap ini penting kerana ia mempamerkan kredibiliti sebenar BN yang sentiasa bersikap profesional dalam memimpin rakyat.

Justeru jelasnya, setiap ahli perlu mengetahui setiap tatatertib dan syarat yang mesti dipatuhi semasa PRU 13 ini serta bersedia melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

Pencapaian transformasi

Tambahnya, kejayaan BN dalam membawa pembangunan dalam parlimen Betong terutamanya di luar bandar terus memberi keyakinan kepada rakyat dengan kepimpinan Ketua Menteri yang membawa ke arah pencapaian transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Jelasnya, parlimen Betong terus bergerak ke hadapan dengan wujudnya pelbagai projek pembangunan dalam semua aspek seperti pendidikan, kemudahan infrastruktur dan banyak lagi untuk rakyat.

“Pembangunan modal insan semakin ditingkatkan dengan adanya Metro Politeknik yang akan memulakan sesi pengambilan pertama Julai ini,” jelasnya bercadang untuk membuka cawangan Universiti Kolej Teknologi Sarawak yang ada di Sibu pada ketika ini di Betong.

Katanya lagi, pembinaan tebatan banjir di Tebingan Sungai Layar bagi tujuan keselamatan dan mencantikkan kawasan Kampung Melayu Betong sedang rancak dibangunkan dengan peruntukan fasa pertamanya menelan belanja sebanyak RM9 juta.

“Ini pastinya dapat memberi kemudahan kepada semua pihak di kawasan terbabit dengan adanya kawasan rekreasi serta tumpuan pelancongan.

“Di sampung itu, tanah lot yang berada di antara kawasan Kampung Baru dan Hilir akan menjadi milik masyarakat Melayu di kawasan terbabit dan akan dimaklumkan secara berperingkat setelah selesai pembangunan di tebingan itu nanti.

“Begitu juga dengan jaringan jalan raya yang menuju ke kawasan hilir iaitu di Mangut dan Supa yang telah dilaksanakan dan akan diteruskan ke Medang,” jelasnya ini pastinya dapat meningkatkan ekonomi rakyat kerana hasil pertanian dapat dipasarkan dan dimajukan dengan lebih tinggi lagi.

Menurut Jabu juga, kredibiliti calon BN, Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang bakal mengekalkan kerusi di parlimen Betong sudah pasti tidak mampu digugat sebaliknya menggugat siapa sahaja lawan pada PRU13 ini.

“Untuk itu, jentera parti harus bersedia bekerja keras demi mencapai matlamat dalam memastikan Parlimen Betong terus menjadi milik dan kubu kuat BN,” tegasnya.

Tiada ulasan: