HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Kedah pinjam duit demi rakyat, bukan bermewah

Zulkifli Yahaya,


BN Kedah tidak tertanggung lagi dengan serangan oleh Bongkar 403 juta, akhirnya menggerakkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah 'menghinggut pokok cermai' (ayat Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah).

 Terbaru beliau menghantar memorandum ke pejabat Wisma Darul Aman mendesak Menteri Besar memberi jawapan berhubung isu hutang negeri Kedah yang kononnya bertambah sehingga hampir RM1 billion.

Perang saraf itu sengaja dibuat BN kerana mereka tahu Ustaz Azizan tidak akan melayan isu yang dibangkitkan Tan Keng Liang kerana Ketua Pemuda Gerakan itu 'cukup seronok' jika isunya dilayan. "Macam berok yang disergah, habis daun cermai luruh dihinggutnya tapi kalau kita tak layan, dia akan diam," ujar Azizan

Bagaimanapun serangan BN itu dijelaskan juga oleh Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah. Katanya, sebahagian besar hutang kerajaan negeri Kedah terhadap Pusat sejak Mac 2008 ialah untuk tujuan pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan bekalan air terawat untuk rakyat.

Maknanya, hutang dibuat bukan untuk projek mewah, hiburan atau membeli cincin dan beg tangan isteri pemimpin negeri. Ia betul-betul untuk faedah rakyat.

Menurut Amiruddin, hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu pada 2 Mac 2008 ialah sebanyak RM2,095,556,334.17. Pertambahan hutang selepas itu sehingga kini adalah sebanyak RM500 juta.

Kira-kira RM260 juta adalah hutang berkaitan KHTP, antaranya untuk membesarkan KHTP fasa 4, setelah tiga fasa sedia ada tidak dapat menampung permintaan tinggi pelaburan masuk, khususnya dari negara luar.

Dalam masa lima tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat jumlah pelaburan masuk ke KHTP adalah sebanyak RM10.8 billion manakala kalau nak dibandingkan lima tahun pertama pelaburan masuk di zaman BN cuma RM4.7 billion, sudah tentu memerlukan suntikan dana lebih besar. Maknanya pertambahan lebih pesat pelabur berlaku di zaman Pakatan sehingga memaksa KHTP dibesarkan. Untuk membesarkannya terpaksa pinjam duit dari Pusat.

Berhubung hutang berkaitan pengurusan air pula, masih terdapat keraguan sama ada ia benar-benar bersifat hutang negeri kepada Persekutuan atau sepatutnya ia merupakan geran Persekutuan kepada negeri yang tidak perlu dibayar balik.

Kalau mengikut status Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) telah dimulakan pada 1974, pembiayaan program BALB ialah 80 peratus pinjaman dan 20 peratus geran kerajaan Persekutuan.

Namun, pada 31 Mei 2000 jemaah menteri telah bersetuju pertukaran dasar pembiayaan program kepada 100 peratus geran oleh Kerajaan Persekutuan.

Pihak kerajaan negeri sedang berunding dengan Pusat supaya status sebahagian hutang untuk urusan perkhidmatan air diubah kepada geran, jika ia berlaku bermakna jumlah hutang negeri kepada Pusat tidaklah seperti yang disebutkan itu.

Bagaimanapun, hutang-hutang berkaitan air akan diambilalih sepenuhnya oleh PAAB sekiranya pihak kerajaan negeri bersetuju untuk menyerahkan aset air kepada kerajaan Persekutuan.

Dato' Amiruddin mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengenai hutang pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dianggap ‘membebankan’ kerajaan negeri.

“Keng Liang jangan susah hati, sebelum institusi kewangan beri pinjaman mereka sudah kaji segenap aspek terutama kemampuan pembayaran balik, jika tidak pinjaman tidak akan diluluskan.

“Dalam isu pinjaman KUIN, kerajaan yakin pinjaman dapat dijelaskan. Kita dah pun masukkan dalam peruntukan bajet 2013 dan bajet itu diluluskan tahun lepas. Sebagai contoh hutang bangunan tambahan Blog E Wisma Darul Aman yang menjadi beban tinggalan BN sebaik kita mengambil alih kerajaan tetapi kita dapat jelaskan mengikut jadual sebanyak RM25 juta setahun sehingga selesai semuanya penghujung 2012,” ujarnya sinis. - http://www.kedahlanie.info

Tiada ulasan: