HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2013

Anwar tidak berdendam dengan Dr M, mahu industri besar bebas nepotisme

TERKINI
Oleh Nomy Nozwir

 Anwar Ibrahim: Gunakan Dr Mahathir sebagai contoh kuasa digunakan untuk kekayaan keluarga. — Gambar fail Choo Choy MayPETALING JAYA, — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tiada dendam peribadi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun terus menyerang peribadi pemimpin itu, sebaliknya hanya menggesa agar ahli keluarga menteri tidak terlibat dalam industri besar.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, beliau menggunakan Dr Mahathir sebagai contoh bagaimana kuasa digunakan untuk kekayaan keluarga.

“Anak bekas PM, antara orang paling terkaya di Malaysia, begitu juga dengan anak-anak menteri lain,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

“Saya tidak ada dendam kesumat, dendam peribadi dengan Dr Mahathir, saya tak faham kenapa dia nak serang saya. Saya gunakan contoh beliau, sebagai contoh kuasa digunakan untuk kekayaan keluarga.”

Pemimpin pembangkang itu menjelaskan, anak-anak pemimpin tidak seharusnya terlibat dalam perniagaan industri besar, sambil merujuk penglibatan anak Dr Mahathir, Mirzan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat petroleum yang berpengkalan di Manila, Petron.

“Mereka menggunakan isu ketuanan Melayu, tetapi menaikkan anak-anak, yang ini tidak mungkin kita pertahankan,” kata Anwar lagi.

Semalam, bekas perdana menteri itu di dalam blognya chedet.cc, mempertahankan anak lelaki sulungnya Mirzan, yang pernah menjadi ahli lembaga pengarah syarikat yang berpangkalan di Manila, San Miguel Corp dan kini di syarikat petroleum Petron, sering menjadi mangsa  fitnah oleh Anwar dan ahli politik PR.

“Setelah fitnah dilempar kepadanya, anak saya letak jawatan. Sekarang dia hanya menjadi pengarah dalam syarikat minyak Petron” kata Dr Mahathir lagi.

“Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus, apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar? Dah tak ada modal politik dah ke?”

Bekas presiden Umno itu menambah beliau tidak pernah memberi apa-apa kepada keluarganya atau rakannya semasa berkuasa, tidak seperti Anwar, yang gemar untuk memilih keluarga dan rakannya untuk jawatan politik tertinggi dan perniagaan.

Dr Mahathir yang dilihat sering mengkritik anak didik beliau yang diharap dapat menjadi penggantinya pada 1990an namun dipecat pada 1998 selepas tuduhan liwat dan rasuah.

Tiada ulasan: