SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan semalam
bukanlah satu janji yang menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat,
sebaliknya semata-mata satu helah untuk meraih populariti di kalangan
pengundi, kata beberapa tokoh pemikir.
Mereka berkata pada pilihan raya umum Mac 2008, parti pembangkang
menabur pelbagai janji manis untuk meraih sokongan pengundi,
bagaimanapun gagal melaksanakan janji populis itu walaupun berjaya
menguasai beberapa negeri.
Malah mereka turut menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan
untuk mengota janji itu, dan kini menjelang pilihan raya umum ke-13
(PRU13), sekali lagi gabungan DAP-PKR-Pas menabur janji manis untuk
memancing undi.
Bagi Ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan
Ghazali manifesto PR tidak lebih sekadar menciplak apa yang telah,
sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan BN.
Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN itu berkata manifesto itu
harus dilihat secara keseluruhan, serta mengambil kira konteks
perekonomian untuk memajukan sebuah negara, dan bukan hanya kepentingan
seorang individu.
"Memang menjadi matlamat mana-mana kerajaan untuk menjaga kesejahteraan
dan kebajikan rakyat. Bagi saya, manifesto ini tidak ada apa-apa yang
menarik dan tiada sebarang kejutan. Ini kerana apa yang diutarakan
sebagai teras, sudahpun menjadi agenda utama dalam membantu
kesejahteraan dan pembangunan ekonomi kerajaan BN," katanya kepada
Bernama.
Pakatan pembangkang hari ini melancarkan sepuluh manifesto menjelang
PRU13 antaranya pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga
menara gading, kad keahlian DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS
yang boleh diguna pakai di mana-mana plaza tol untuk mendapat tol
percuma dan bantuan perniagaan RM10,000 kepada setiap peniaga yang
berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Dr Noor Azlan berkata, manifesto seperti menyediakan peluang pekerjaan
baharu untuk rakyat sebenarnya telah dikenal pasti di bawah Program
Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan BN sejak tahun 2010, dan kerajaan BN
sememangnya sentiasa fokus untuk meningkatkan ekonomi negara serta
menjaga kesejahteraan rakyat.
"Manifesto pembangkang ini harus dilihat secara menyeluruh, kolektif
dan komprehensif, kerana sehingga hari ini, mereka (pembangkang) tidak
menyediakan cara-cara untuk melaksanakan janji-janji itu," katanya.
Dekan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Martadar Mohamed berkata
manifesto PR itu jelas menunjukkan kelemahan dan ketidakmampuan
pembangkang untuk membuat kerja kerana tidak mampu menawarkan kepada
rakyat lebih daripada apa yang dilakukan BN.
"Secara keseluruhannya apa yang kita lihat dalam manifesto pakatan
rakyat ini kebanyakannya adalah hasil yang dilaksanakan kerajaan dan
jika ada yang baharu pun ia sekadar dilihat dari persektif yang sangat
kecil," katanya.
Beliau berkata isu pendidikan yang dibangkitkan pembangkang seperti
memartabatkan bahasa Melayu, menjamin hak bahasa ibunda dan
mempertingkat bahasa Inggeris telah lama diperjuangkan kerajaan BN.
Sementara itu, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai menyifatkan
cadangan pembangkang menurunkan cukai eksais kereta secara berperingkat
dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun agar harga kereta
lebih berdaya saing akan memberi kesan kepada pengeluaran kereta
nasional.
Barjoyai, yang juga Pengarah Bersekutu Akademik dan Program Global
Pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak
berkata tindakan itu juga akan menyebabkan industri automotif negara
menjadi kurang berdaya saing.
"Bila tak berdaya maju ia akan libatkan banyak kesan rantaian ke bawah
termasuk mungkin menjejaskan lebih sejuta pekerja dalam sektor ini,"
katanya.
Pendapat Dr Barjoyai itu turut disokong Presiden Persatuan Automotif
Malaysia Datuk Aishah Ahmad yang mempersoalkan kemampuan kerajaan PR
untuk menjana hasil untuk mentadbir negara jika cukai eksais dihapuskan.
Aishah berkata pembangkang seharusnya memikirkan kesan baik dan buruk
sesuatu cadangan sebelum melaksanakannya kerana jika tersilap akan
menjejaskan sumber kewangan dan seterusnya membantutkan pertumbuhan
ekonomi negara.
Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman, janji yang terkandung dalam manifesto
pakatan pembangkang sebenarnya telahpun dilaksanakan kerajaan BN selama
ini, termasuk gaji minimum, insentif percukaian, dan perumahan rakyat.
Mengenai janji mewujudkan caruman nasional RM500 sebulan sehingga
pencen kepada semua penjawat awam, Omar berkata ini satu lagi janji
kosong pembangkang.
"Jika dahulu mereka janji nak bagi elaun ibu tunggal dan bantuan kepada
murid sebulan RM50 di Selangor pun sampai sekarang mereka tak tunai,
macam mana nak beri RM500 sebulan kepada 1.4 juta penjawat awam negara
ini? Ini semua perlu difikirkan semula oleh rakyat," katanya.
Presiden Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia (PPMM), Mohd Rafiq
Naizamohideen berkata, jika pada PRU lepas, Menteri Besar Selangor Tan
Sri Khalid Ibrahim ada menyatakan manifesto bukanlah janji dan tidak
perlu ditepati, maka kali ini juga pastinya ia akan membawa nasib yang
sama.
"Oleh itu, rakyat tidak perlu mempercayai manifesto kali ini bagi
mengelak daripada tertipu seperti pengundi di Selangor, kerana pakatan
pembangkang tidak akan bertanggungjawab terhadap manifesto yang mereka
buat apabila berjaya menjadi kerajaan," katanya.
Pandangan Mohd Rafiq turut dikongsi presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk
Dr asan Mohamed Ali yang menyifatkan kalimat dalam manifesto itu tidak
lebih daripada susunan ayat yang disalut 'gula-gula manis' untuk memikat
hati rakyat.
"Bila sampai masanya mereka mencari seribu dalih memberi justifikasi
mengapa manifesto tersebut tidak dapat dilaksanakan," katanya dalam satu
kenyataan.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis
Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, manifesto
adalah komitmen dan sebuah kontrak antara rakyat dan parti politik.
Oleh itu, katanya, sesebuah parti tidak boleh menampilkan manifesto
untuk menipu rakyat, memujuk dan memikat mereka untuk mengundi.
Katanya, amat penting bagi parti politik untuk memahami bahawa apa jua
yang ditampilkan dalam manifesto itu, mereka mesti bersedia
mengotakannya serta menunaikan apa yang dijanjikan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara
Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melontarkan persoalan yang
penting: "Adakah PR mempunyai masa dan wang untuk melakukannya dalam
tempoh lima tahun memegang kuasa?" - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan