HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Bersih: Mohamad Sabu, Tian Chua dibebas

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan 12 yang lain daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram semasa Bersih pada November 2007.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, hari ini.

Namun, ahli parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan disabitkan kesalahan tersebut kerana gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghujahannya, hakim Jagjit berkata pihaknya berpuas hati dengan pengakuan bersumpah Mohamad yang mengatakan polis telah membenarkan beliau mengiringi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, tidak dihalang polis ketika berjalan kaki atas tujuan tersebut ke Istana Negara.

Perkara sama turut diputuskan bagi Tian Chua, yang mana mengatakan tiada sebarang halangan untuk beliau berjalan bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Mohamad, yang ditemui selepas penghakiman tersebut, merakamkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih atas pembebasan itu.

Bagaimanapun, beliau turut bersimpati dengan dua rakannya yang disabitkan bersalah atas pertuduhan tersebut.

"Apa yang saya ingin katakan, sebarang himpunan aman, yang tidak bersenjata, eloklah untuk Peguam Negara (AG) menarik semula kes-kes membabitkan himpunan, sama ada kes yang dahulu hingga sekarang kerana pendakwaan ke atas kes sedemikian sudah dianggap tidak popular sekarang," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Tian Chua dalam responsnya berkata biarpun beliau dan rakan-rakan dibebaskan perjuangan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil masih perlu diteruskan.

"Perjuangan Bersih yang kita mulakan sejak lima tahun lalu, masih perlu diteruskan bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil tercapai kerana ia tonggak demokrasi," tegas beliau.

Mereka dituduh menyertai perhimpunan haram berkenaan yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di beberapa tempat, termasuk di perkarangan Masjid Negara, Jalan Istana Baru, Jalan Raja Laut dan berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman antara 1 tengah hari dan 4 petang pada 10 November 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 143 dan 145 Kanun Keseksaan, dengan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 27(4) (a) Akta Polis 1967.

Mengikut Seksyen 143, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Mengikut Seksyen 145, hukuman yang boleh dikenakan ialah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Seksyen 27(5)(a) pula memperuntuk hukuman denda RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun jika sabit kesalahan.

Pada 19 November 2010, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan 16 perayu pada akhir kes pendakwaaan, tanpa memerintah mereka membela diri, tetapi berikutan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi mengubah  keputusan itu dan memerintah mereka membela diri.

Tiada ulasan: