HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2013

Yakin 16 kerusi parlimen Sarawak milik Pakatan


DETIK DAILY



PAS dan Pakatan Rakyat Sarawak yakin punyai peluang cerah untuk menang dalam PRU13 akan datang. PAS percaya akan menang di dua kawasan, manakala selebihnya akan dimenangi DAP dan KeADILan. Banyak isu yang memihak kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya kali ini.

Antaranya termasuklah isu tanah dan isu rasuah serta kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid ketika diwawancara Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA pada 20 Februari lalu.

WARTAWAN: PRU13 sudah semakin hampir. Bagaimana dengan kedudukan calon-calon PAS yang akan bertanding nanti? 

ADAM AHID: Dalam PRU13 nanti, pilihan raya yang akan diadakan hanyalah melibatkan pilihan raya bagi kerusi-kerusi Parlimen sahaja. Pertandingan bagi kerusi Dun tidak terlibat

kerana pertandingan bagi Dun di Sarawak telah diadakan tahun 2011 lalu. Melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011.

Kerusi Parlimen Sarawak sebanyak 31. PAS akan bertanding tujuh kerusi, manakala selebihnya adalah KeADILan dan DAP. Kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PAS terdiri daripada Kota Samarahan, Batang Sadong, Sibuti, Ijan, Mukah, Tanjung Manis dan Julau.

Parlimen Tanjung Manis dalam PRU ke-12 lalu ditandingi oleh KeADILan, tetapi pada PRU13 nanti akan ditandingi oleh PAS. Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Pakatan Rakyat Sarawak dan telah diputuskan oleh Pakatan Rakyat pusat.

Pada mulanya PAS hanya akan bertanding di empat kawasan Parlimen sahaja, kemudiannya terdapat permintaan dalam PAS yang meminta kita bertanding di 10 kawasan, tetapi setelah diadakan beberapa perbincangan di peringkat dalaman PAS diputuskan PAS akan bertanding di tujuh kawasan sahaja. Keputusan itu kemudiannya dibawa ke mesyuarat Pakatan Rakyat dan diputuskan PAS akan bertanding di tujuh kawasan berkenaan pada PRU13 nanti.

Bagaimana dengan pembahagian kerusi antara PAS, KeADILan dan DAP?

Pembahagian kerusi antara PAS, KeADILan dan DAP di Sarawak telah selesai. Tujuh kerusi yang akan ditandingi PAS itu memang telah dipersetujui oleh KeADILan dan DAP. Keputusan itu dicapai hasil rundingan antara PAS dan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat yang didahului dengan PAS negeri, kemudiannya dibawa ke PAS Pusat untuk diputuskan dan kemudiannya dibincang dalam mesyuarat Pakatan Rakyat negeri untuk diputuskan oleh Pakatan Rakyat pusat.

Kalau di Sabah, majoriti rakyat negeri itu telah bangkit untuk melakukan perubahan menumbangkan BN, bagaimana pula dengan potensi Pakatan Rakyat di Sarawak?

Sekarang Pakatan Rakyat Sarawak memang sudah ada wakilnya di Parlimen. Terdapat dua kerusi dari Pakatan Rakyat Sarawak di Parlimen sekarang iaitu Kuching dan Sibu. Kesemua wakil itu datangnya daripada DAP, setelah DAP mencapai kemenangan di dua kawasan itu pada PRU 12 pada tahun 2008 yang lalu.

Sekarang Pakatan Rakyat Sarawak hanya memerlukan 14 kerusi tambahan sahaja lagi, bagi menjadikan bilangan 16. Jika kita dah dapat menang di 16 kawasan, Pakatan Rakyat dikira sudah cukup kuat di Sarawak.

Dua kerusi yang telah dimenangi oleh DAP itu diyakini dapat dipertahankan oleh Pakatan Rakyat. DAP memang kuat di Sarawak. Kerusi yang dimenangi oleh DAP itu adalah di kawasan masyarakat Cina. Sokongan orang Cina kepada Pakatan Rakyat pula memang kuat. Jadi, kita yakin kesemua kerusi yang telah dimenangi oleh DAP itu dapat dipertahankan.

Daripada 14 kerusi tambahan yang diperlukan lagi itu pula, PAS mungkin dapat menampung dua kerusi, selebihnya mungkin dapat ditampung oleh KeADILan. Berdasarkan perkembangan sekarang, kita yakin Pakatan Rakyat dapat menawan 16 kerusi yang diperlukan itu kerana di Sarawak juga turut berlaku lonjakan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Selain masyarakat Cina, kebangkitan itu juga turut berlaku di kalangan masyarakat Melayu dan Iban.

Bolehkah Saudara nyatakan kawasan Parlimen yang diyakini menang itu?

Salah satunya kerusi Parlimen Sibuti dan satu lagi Kota Samarahan. Di Sibuti, pada PRU12 lalu, calon daripada KeADILan yang bertanding. Pada masa itu, KeADILan sudah berjaya memperolehi lebih 3,000 undi dan kalah lebih 2,000 undi. Dengan sokongan masyarakat Cina kebangkitan kaum Iban sekarang, kita yakin akan menang di kawasan itu.

Bagi Kota Samarahan pula, pada PRU12 lalu turut ditandingi KeADILan. Pada masa itu, calon KeADILan kalah lebih 3,000 undi. Di kawasan itu terdapat satu kawasan Dun yang menyokong kuat PAS iaitu Muara Tuan. Sekarang sokongan penduduk di kawasan Muara Tuan kepada PAS semakin meningkat kerana orang ramai begitu marah kepada wakil rakyat BN di kawasan itu sekarang disebabkan beberapa isu.

Begitu juga dengan ahli Parlimen di kawasan itu sekarang yang juga dari BN. Dia adalah anak kepada Ketua Menteri Sarawak. Penduduk di kawasan Samarahang cukup marah kepada dia sekarang disebabkan beberapa isu.

Kerusi parlimen KeADILan macam mana?

Itu bagi kawasan yang ditandingi oleh PAS, bagi kawasan yang ditandingi KeADILan pula, terdapat beberapa kawasan yang agak cerah terutama di Batang Lupar. Kebanyakan penduduk di kawasan itu cukup marah kepada Ahli Parlimen Batang Lupar sekarang yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KDN), Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Rohani Abdul Karim disebabkan beberapa isu. Selain itu, KeADILan juga agak kuat di kawasan Parlimen Saratok kerana salah satu kerusi Dun di kawasan itu telah dimenangi KeADILan dalam PRN Sarawak pada tahun 2011 lalu iaitu Dun Krian.

Dalam PRN tahun 2011 lalu, DAP telah menang di 13 kerusi Dun. Jika disingkap keputusan di kesemua 71 kerusi Dun Sarawak pada PRN April lalu, ia memberi gambaran sekiranya undi-undi yang dijumlahkan di peringkat Dun diselaraskan bagi parlimen, BN berkemungkinan besar akan kehilangan sehingga 10 kerusi parlimennya kepada DAP, KeADILan dan PAS para PRU13 nanti.

Dengan kemenangan 13 kerusi itu, jelas sekali kerusi Parlimen yang dimiliki oleh DAP sekarang iaitu Kuching akan terus kekal dalam PRU13 nanti. Ini kerana kerusi-kerusi Dun di bawah Parlimen Kuching seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP.

Di bawah Parlimen Sibu, daripada tiga kerusi Dun di kawasan itu, DAP menang besar di Dun teramai pengundi iaitu di Dun Pelawan meskipun dua Dun lagi iaitu Bawang Assan dan Nangka dimenangi masing-masing oleh SUPP dan BN. DAP hanya kalah tipis di Bawang Assan.

Berapa sasaran DAP pula?

DAP diyakini mampu merampas sehingga lima kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU13 nanti.

Antaranya, kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri serta Bintulu. Bagi Parlimen Stampin, Pakatan Rakyat telah memenangi dengan undi banyak di Dun Batu Kawah dan Kota Sentosa melalui DAP dan Dun Batu Lintang melalui KeADILan.

Di Parlimen Sarikei pula, kedua-dua kerusi Dun di kawasan itu iaitu Repok dan Maradong dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai kedua-dua Dun iaitu Bukit Assek dan di Dun Dudong.

Lonjakan penguasaan di Lanang adalah disebabkan populariti penyandangnya, Wong Ho Leng yang juga Ketua Pembangkang Dun Sarawak dan ahli Parlimen Sibu yang memperolehi majoriti melebihi 8,000 undi di Dun Bukit Assek.

Di Parlimen Miri pula, salah satu kerusi Dun kawasan itu iaitu Dun Piasau yang menyaksikan kekalahan Presiden SUPP-BN, Tan Sri George Chan (kini bekas presiden) kepada calon muda DAP, Ling Sie Kiong.
Dua Dun lagi, Pujut dan Senadin masing-masing dimenangi oleh DAP dan BN. Di Dun Senadin, KeADILan yang mewakili Pakatan Rakyat hanya kalah tipis sebanyak 58 undi sahaja kepada calon BN.

DAP juga mampu menang di Parlimen Bintulu kerana salah satu Dun di kawasan itu iaitu Dun Kidurong telah pun dimenanganinya dengan pertambahan majoriti sehingga 7,000 undi jika dibandingkan dengan majoriti sebanyak 1,664 pada PRN 2006.

Kerjasama PAS dan KeADILan serta DAP yang berada dalam Pakatan Rakyat di Sarawak...

Alhamdulillah, kerjasama antara PAS dan KeADILan serta DAP yang berada dalam Pakatan Rakyat di Sarawak memang cukup baik. Kami memang sering mengadakan mesyuarat bagi membincangkan berbagai perkara. Kami juga sering mengadakan program bersama.

Apa isu-isu panas di Sarawak?

Banyak juga isu-isu panas di Sarawak. Tapi isu utamanya adalah mengenai tanah. Isu tanah melibatkan semua kawasan di Sarawak. Perkara ini memang sudah banyak kali disebut tetapi tetap juga tidak selesai. Isu tanah di Sarawak sekarang menjadi semakin parah. Ini semua angkara satu syarikat yang dinaungi BN.

Beberapa tahun lalu syarikat itu telah diberikan projek untuk menyiapkan jambatan di Bintawak iaitu Jambatan Bintawak yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar. Pembiayaan pembinaan jambatan itu datangnya dari syarikat itu. Berdasarkan janjinya dengan kerajaan, pembiayaannya itu akan digantikan oleh kerajaan dengan tanah. Pada hal tanah-tanah itu adalah tanah rakyat. Tetapi itulah janji dan pakatan Kerajaan BN Sarawak dengan syarikat itu.

Jadi, sekarang pihak syarikat itu dengan persetujuan kerajaan sedang berusaha mengambil tanah-tanah penduduk Sarawak yang diduduki sekarang.

Padahal tanah-tanah itu telah diterokai oleh penduduk sejak beberapa keturunan lalu lagi. Tujuan syarikat itu hendak mengambil tanah-tanah penduduk untuk dijadikan ladang sawit. Syarikat itu mendapat idea untuk melahirkan ladang sawit di Sarawak setelah dilihat kejayaan penanaman kelapa sawit di Semenanjung terutama yang dilakukan oleh Felda.

Itulah sebenarnya yang menjadi kemarahan rakyat Sarawak sekarang. Rakyat menentang keras perancangan itu. Kerajaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana ia ternyata amat menzalimi rakyat. Akibat kemarahan rakyat, PAS hampir menang dalam PRN Sarawak 2011 di Dun Beting Maro kerana PAS hanya kalah tipis dengan jumlah kekalahan amat kecil tidak lebih 300 undi sahaja.

Tiada ulasan: