Pemuda MCA berkata jika pembangkang benar-benar serius untuk melaksana pendidikan percuma, perkara itu boleh dilaksana  sejak 2008 di negeri mereka seperti di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). 
  
"Universiti ini berada di negeri yang dikuasai mereka. Jadi apa guna untuk mereka beritahu rakyat (pendidikan percuma) jika mereka sebenarnya tidak boleh laksanakan? Hanya cakap sahaja," kata Ketua pergeakan itu, Wee, yang juga timbalan menteri pelajaran di majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina Pemuda MCA  di ibunegara hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda MCA  menempelak manifesto pembangkang untuk memberi pendidikan percuma dari prasekolah sehingga menara gading, serta menyifatkannya sebagai janji kosong demi memancing undi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
  
Turut hadir di majlis makan malam itu ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Wanita Datuk Yu Chok Tow dan Timbalan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr  Mah Hang Soon.
  
Wee turut mempersoal tindakan pembangkang menghina pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada mereka yang kurang berkemampuan memandangkan ia satu daripada cara kerajaan membantu golongan itu.
  
"Pembangkang sebenarnya bercakap begitu kerana mereka tidak boleh melakukan apa yang dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat," katanya yang disambut sorakan hadirin.
  
Sehubungan itu, Wee berharap rakyat dapat menilai sikap  'tin kosong' pemimpin pembangkang dan membuat pilihan tepat pada PRU akan datang.
  
Beliau juga berkata jentera Pemuda MCA kini berada  dalam keadaan siap siaga untuk berperang habis-habisan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negara.
  
Sementara itu, Liow dalam ucapannya, berkata MCA sedia bekerja keras dalam PRU-13, bukan sahaja untuk kaum Cina tetapi untuk semua rakyat Malaysia seiring gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Beliau berkata BN sentiasa bersatu hati, dan masa depan negara lebih cerah, ekonomi juga akan terus berkembang di bawah pemerintahan BN.
  
"Ini berbeza dengan pembangkang yang tidak bersatu hati.  Mereka ini (PAS, PKR dan DAP) kata sehati sejiwa, tetapi sebenarnya mereka ini tiga kepala yang tidak sehaluan," katanya. - Bernama