HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

MBM: Jangan label mahasiswa 'bendul'

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Muammar Ghadafi
Muammar menyampaikan hujah beliau pada Wacana Sinar bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa. 
 
SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyangkal sama sekali dakwaan sesetengah pihak yang melabel golongan muda terutamanya mahasiswa mengikut parti dan "bendul."

Timbalan Presidennya, Muammar Ghadafi menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak adil.
“Adalah tidak adil kita memberi label pada mahasiswa itu. Sama ada dia ini pakatan (Pakatan Rakyat) atau dia ini barisan (Barisan Nasional). Menurut kajian, pola kecenderungan orang muda adalah terhadap parti yang ada asas kukuh dan calon pula dipilih yang benar-benar telus serta boleh harap.

“Jadi, untuk mengatakan siswa ini sokong BN atau PR tak adil. Adalah tidak adil untuk kita meletakkan label mahasiswa... semua pakatan, semua kerajaan kerana mereka bersifat intelektual,” katanya yang bertindak sebagai anggota panel Wacana Sinar Siri 17: Kuasa Politik Mahasiswa di sini, hari ini.

Menurut Muammar, mahasiswa membangkang atau menyokong sesuatu isu atas dasar ilmu bukan kerana menyokong mana-mana pihak.

“Apabila mereka membangkang, tak semestinya mereka duduk dalam pembangkang. Apabila mereka menyokong bukan kerana mereka penyokong. Mereka menyokong atau membangkang atas dasar ilmu itu sendiri. 

“Kalau tajuk itu beri kesan yang baik kepada negara contohnya, dasar-dasar kerajaan yang membawa perkara yang baik kepada siswa sudah pasti mereka akan menyokong, tidak kira haluan kiri atau kanan.

"Saya percaya ia berlaku di kampus. Jadi, tak tepat (label) kerana mereka mempunyai pemikiran yang lebih,” katanya.

Wacana Sinar ke-17 dikendalikan pensyarah dan penganalisis politik dari Universiti Malaya,
Selain Muammar, barisan panel terdiri daripada bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar.

Ketika moderator menyifatkan mahasiswa sebagai lemah dan bendul, Muammar membidas kenyataan tersebut.

“Saya terpaksa untuk tidak setuju dengan kenyataan Prof (moderator) yang menyatakan siswa ini lemah, bendul. Pertama kita kena tengok kenapa topik ini menjadi begitu hangat?... kerana mahasiswa ini mempunyai satu nilai ilmu.

“Komen daripada mana-mana pihak yang mengatakan mereka ini lesu saya sangat tidak setuju. Saya cukup terasa apabila Prof mengatakan mahasiswa kita lesu, lemah. Kita ada banyak contoh. 
Tidak kira mereka menyokong atau tidak kerajaan. Mereka bergiat aktif, begitu lantang bersuara menyatakan pandangan mereka,” katanya.

Menutup bicaranya, Muammar akui malu dengan tindakan sesetengah pihak yang mencemarkan status mahasiswa sebelum ini.

“Saya malu dengan kelakuan sesetengah pihak sebelum ini. Mahasiswa (sepatutnya) tahu mana baik dan mana buruk. 

“Mereka ada nilai ilmu, jadi, apabila nilai ilmu itu hilang, maka akan hilanglah keistimewaan sebagai mahasiswa... masyarakat pandang rendah pada mahasiswa,” katanya

Tiada ulasan: