HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Februari 2013

Kerajaan Pusat Sabotaj Pengambilalihan Air Selangor


Forum Air di Dewan Sri Jugra Banting 03

BANTING : Kerajaan Pusat didakwa bersetuju meluluskan pengambilalihan pengurusan air di Selangor tetapi mengkhianatinya apabila Pakatan Rakyat (PR) di berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa mendakwa Kerajaan Pusat dalam satu mesyuarat pada Februari 2008 bersetuju memberikan hak pengurusan air di Selangor yang diuruskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kepada anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Forum Air di Dewan Sri Jugra Banting 02

“Umno dan Kerajaan BN sendiri sabotaj keputusan yang dipersetujui sebab PR yang perintah, bukan orang dia.

“Mereka berniat jahat, ‘it was their decision’, tetapi tak mahu teruskan sebab niat jahat politik,” katanya pada Forum Air di Dewan Sri Jugra, Banting, malam tadi.

Dakwanya, tindakan Kerajaan Pusat sengaja melengah-lengahkan penyelesaian isu air ini bagi menyekat Kerajaan Negeri daripada terus memberikan 20 meter padu air percuma kepada lebih lima juta penduduk di Selangor.

Forum Air di Dewan Sri Jugra Banting 04

“Ini semua propaganda BN dengan menjadikan isu krisis ketiadaan air, isunya adalah Kerajaan Negeri mahu ambil syarikat konsesi untuk kembalikan kepada rakyat,” katanya dihadapan hampir 400 orang yang hadir.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk yang hadir ke forum itu memahami kesungguhan Kerajaan Negeri dalam usaha mengambil alih pengurusan air daripada Syabas.

Muniandy Muthusamy, 52, berpendapat Selangor sebenarnya tidak menghadapi krisis air tetapi lebih kepada campur tangan parti politik yang berniat jahat untuk menyekat usaha Kerajaan Negeri itu.

“Melalui forum ini saya dapat faham yang Kerajaan BN sengaja menyusah Kerajaan Negeri yang banyak tolong rakyat,” katanya ketika ditemui.

Forum Air di Dewan Sri Jugra Banting 01

Manakala bagi Rahman Abdullah, 47, pula bersetuju usaha Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan air daripada Syabas kerana mahu membantu rakyat.

“Syarikat untung juta-juta, pengerusinya pun gaji ratus ribu sebulan, saya sokong usaha Kerajaan Negeri,” tegasnya.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri membuktikan pemberian air percuma kepada rakyat tidak menjadikan negeri muflis bahkan simpanan rizab meningkat sepanjang lima tahun kebelakangan ini.

“Rizab simpanan negeri meningkat kepada lebih RM2.5 bilion kerana berjaya mengurangkan ketirisan wang hasil kecekapan pengurusan pentadbiran yang berhemah,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Tiada ulasan: