HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2013

Saksi: Lelaki amuk di Putrajaya mengaku dirinya Imam Mahadi

SINAR HARIAN

PUTRAJAYA - Lelaki yang mengamuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri dengan bersenjatakan pedang samurai, mengaku dirinya Imam Mahadi, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini.

Bekas pengawal keselamatan kanan di unit keselamatan, Jabatan Perdana Menteri Kamarunzaman Samat, 58, berkata lelaki itu menyatakan demikian ketika berbual dengannya pada 9 Julai tahun lepas.

Beliau berkata sebelum itu, lelaki tersebut mendakwa dari kumpulan Al-Maunah dan berani mati serta tidak kisah apa yang bakal berlaku terhadapnya pada hari itu.

Kamarunzaman berkata lelaki itu juga memberitahu tujuannya datang ke Kompleks Jabatan Perdana Menteri adalah untuk bertemu Perdana Menteri kerana 'tidak suka dengan pemerintahan sekarang.'

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada lelaki itu ingin memberi nasihat kepada Perdana Menteri atau sebaliknya.

Kamarunzaman juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam M.Visvanathan bahawa keadaan lelaki itu, yang datang bersama seorang wanita dan bersenjatakan pedang merupakan tindakan orang gila.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Muhdalena Ahmad, 28, yang berdepan empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Dia didakwa mengugut seorang anggota polis bantuan Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad dalam kawasan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai, 2012 serta memiliki pedang di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, Muhdalena didakwa tidak mematuhi arahan Ridzuan supaya meletakkan pedang selain gagal mematuhi arahan menteri iaitu perlu mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis itu.

Pada sesi pagi prosiding, Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Kamil Nizam bersama pasukan pendakwaan dan pembelaan dibawa melawat lokasi kejadian amuk, laluan kawasan utama Kompleks B Jabatan Perdana Menteri serta bilik CCTV.

Selepas itu, perbicaraan disambung pada sebelah petang dengan peguam Visvanathan, yang mewakili Muhdalena, memeriksa balas Kamarunzaman.

Perbicaraan bersambung 22 April. - Bernama

Tiada ulasan: