HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Februari 2013

Air percuma: 1.3 juta rakyat S'gor dapat jimat RM1,200

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Menurut Laporan Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dikeluarkan baru-baru ini, lebih 1.3 juta rakyat negeri itu telah dapat menjimatkan perbelanjaan mereka sehingga RM1,200 sejak kerajaan negeri memperkenal Skim 20 meter padu Air Percuma.

Selain itu, bagi pengguna biasa yang tidak mendapat skim air percuma pula, mereka juga mendapat penjimatan sebanyak RM875 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ini kerana, mereka masih membayar tarif air pada kadar rendah selepas Kerajaan Selangor menyekat kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Pada waktu ini, kos bagi 20 meter padu adalah RM11.40 namun sekiranya Syabas dibenarkan menaikkan tarif air, kos air untuk satu isi rumah mulai Januari 2013 adalah RM18.80 untuk 20 meter padu.

Menurut Selangorku, skim yang diperkenal Pakatan Rakyat selepas menang di Selangor pada 2008 itu juga, telah menyebabkan kadar penggunaan tahunan air di negeri itu turun mendadak.

Daripada tahap penggunaan 35 meter padu untuk satu sambungan pada 2007, penggunaan air telah menurun sebanyak 32.8 meter padu untuk setiap sambungan pada 2011.

Setiap sambungan merujuk kepada bekalan air bermeter yang disambungkan ke premis pengguna domestik.

Penurunan penggunaan sebanyak 2.2 metre padu sebulan itu telah menyangkal kritikan sebelum ini bahawa skim air percuma akan membawa kepada pembaziran.

Laporan jawatankuasa itu digubal menggunakan data Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2009, 2011 dan 2012 yang diperakui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Menurut data MWIG pada tahun 2008, penggunaan per sambungan sebulan adalah 34.8 meter padu berbanding dengan 2007 iaitu 35 metre padu.

Selepas 2008 trend menunjukkan penurunan kepada 34.5 meter padu (2009), 34.0m.padu (2010) dan 32.8m.padu (2011).

Tiada ulasan: