HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2013

PRU13: Juham berkampung di Pulau Tioman

Harakahdaily,


Anggota rombongan Juham bersama Penyelaras Dun Tioman.

KUALA LUMPUR: Rombongan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia seramai 13 orang peguam diketuai Ariff Azami Hussein telah berkampung di Pulau Tioman, kelmarin untuk melaksanakan gerak kerja awal menjelang pembubaran Parlimen dan Dun Pahang.

Ketua Unit Media dan Penerangan Juham, Noorazmir Zakaria memberitahu, antara program yang diadakan adalah taklimat untuk Ejen Mengira Undi dan petugas-petugas pilihanraya Dun Tioman di mana ia telah mendapat sambutan hangat daripada para petugas dengan sesi yang amat interaktif.

Katanya, para petugas berjaya mendalami ilmu pilihan raya dan memahami taktik dan teknik untuk menangani tipu daya pihak lawan khususnya pihak Barisan Nasional dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Tambahnya, para petugas didedahkan dengan simulasi bilik mengundi yang berjaya menghadamkan peserta dengan situasi sebenar dalam bilik mengundi dan tindakan yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah pengundi hantu, penyamaran, pengaruh tidak wajar dan penipuan yang berlaku.

Para petugas juga, ujarnya telah mendapat suntikan baru untuk terus berjuang bagi memastikan misi Pakatan Rakyat untuk menakluki negeri Pahang dan membebaskan negeri itu daripada terus dibelenggu masalah korupsi, pentadbiran tidak cekap dan penyelewangan yang berlaku di negeri tersebut.

Program itu turut dihadiri oleh Penyelaras Dun Tioman iaitu Peguam Mohd Fadzly Ramly dan Datuk Tamrin Tun Ghafar.

“Selain itu, program khidmat guaman Pemuda PAS juga diadakan. Program ini adalah program pertama kali diadakan di Dun Tioman dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada seluruh pengundi-pengundi di Dun Tioman,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, daripada sambutan yang diberikan oleh pengundi-pengundi Dun Tioman itu, Juham yakin Dun Tioman akan jatuh kepada PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Ini, katanya kerana banyak masalah isu setempat yang gagal diselesaikan dan diatasi oleh Adun Barisan Nasional sekarang.

Tiada ulasan: