HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Februari 2013

Guan Eng cabar PM, anggota Kabinet isytihar harta

JAMILAH HAMZAH

Guan Eng cabar PM, anggota Kabinet isytihar harta
Lim Guan Eng berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Keempat di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
 
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota Kabinetnya mengisytiharkan harga masing-masing jika 'bangga' dengan langkah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya minggu lalu.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang ini berkata, ikrar tersebut tinggal kosong jika kesemua anggota Kabinet kerajaan pusat tidak mahu mengisytiharkan harta masing-masing.

"Najib ada mencabar kita untuk turut sama tandatangan ikrar tersebut. Tapi buat apa kalau Najib dan menterinya telah tandatangan, namun takut untuk mengisytiharkan harta mereka.

"Mereka gagal, jadi ikrar itu hanya tinggal janji kosong," kata beliau kepada peserta Konvensyen PR Kali Ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Pada 20 Februari lalu, Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13.

Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang.

Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri.

Di bawah seksyen 'Maklumat Lanjut', selepas ayat - 'Saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya ini kerana:' Najib menulis "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu memberikan teladan yang baik.
Hanya calon yang dianggap telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada sebuah kerajaan yang amanah, dihormati oleh rakyat".

Presiden TI-Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan menandatangani dokumen itu sebagai saksi.

Pemimpin Barisan Nasional mendakwa Pakatan Rakyat takut untuk menerima cabaran menerima ikrar tersebut.

Tiada ulasan: