SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa
masyarakat tidak kira apa jua fahaman politik supaya segera
menghentikan perbuatan mempolemikkan isu penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam bagi menjaga kesucian agama Islam.
Katanya, isu itu tidak wajar dimainkan mana-mana pihak secara
berterusan memandangkan Islam sudah menetapkan bahawa kalimah ALLAH
tidak boleh digunakan orang bukan Islam.
"Misalnya di Kelantan sendiri perkara ini sudah jelas termaktub dalam
Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 di bawah
Seksyen 9 yang mana sudah termuat perkataan kalimah ALLAH tidak boleh
digunakan oleh orang bukan Islam. Saya percaya di negeri-negeri lain pun
ada enakmen ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Kalau kalimah ALLAH dibenarkan guna dalam Bible versi bahasa Melayu,
konteks pemahaman orang Kristian 'Allah' ada anak, sedangkan dalam
Islam, ALLAH itu 'Tunggal'.. 'Esa'. Jadi 'keesaan' ALLAH tidak ada dalam
konteks kefahaman mereka (orang Kristian). Sanggupkah kita sebagai
orang Islam memfitnah tuhan kita sendiri, sedangkan tuhan kita
'tunggal'," katanya.
Mohamad Shukri berkata Islam melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh
orang bukan Islam berdasarkan kaedah 'saatuzariah' iaitu pencegahan
daripada terus berlaku benda yang diharamkan Islam.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengenepikan agenda politik
masing-masing dan tidak mempersenda agama Islam yang mana politik
sepatutnya dijadikan alat untuk memperjuang agama Islam.
Katanya, penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam perlu dicegah
secara efektif kerana bakal memberi kesan negatif terhadap pemahaman
golongan muda berhubung agama Islam iaitu bahawa Islam sama dengan agama
lain sehingga menularnya budaya fahaman pluralisme agama.
"Saya bimbang sekiranya tidak dicegah lebih awal, orang-orang muda yang
kurang tahu soal hukum hakam agama Islam, akan berfahaman semua agama
sama sahaja nanti," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Shukri memohon kerajaan terutamanya majlis
agama Islam bertindak tegas bagi menangani perkara itu dengan cara
penguatkuasaan enakmen sedia ada yang berkaitan agama Islam. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan