Previu filem kontroversi ini telah ditayangkan
khas untuk 3,000 peneroka Felda turut dihadiri bekas Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
PETALING JAYA: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berpendapat bahawa Barisan Nasional telah memulakan kempen menarik undi Melayu di kawasan Felda dan menganaktirikan undi bukan Melayu menerusi penayangan filem Tanda Putera.
Perkara ini diungkapkan menerusi serangkap pantun yang diilhamkan beliau di laman rangkaian soial, Facebook.
“Tanda Putera” gulai terbaru,
santun dihidang dalam gelap.
Dapatlah hirup undi Melayu,
Undi yang lain mula berasap
Previu filem kontroversi ini telah ditayangkan khas untuk 3,000 peneroka Felda. Penayangan filem ini turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Bagaimanapun penayangan filem tersebut dibuat secara tertutup.
Filem itu mengisahkan peranan bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein (bapa Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Filem arahan pengarah filem terkenal Datuk Shuhaimi Baba ini masih belum ditayangkan kepada umum walaupun telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.
Kontroversi terhadap filem ini timbul berikutan ura-ura terdapat adegan yang memberi gambaran bahawa DAP yang mencetuskan peristiwa Mei 13, 1969.
Terdapat adegan yang memaparkan watak Penasihat DAP Lim Kit Siang yang dikatakan membuang air kecil ke atas bendera negara. Lim walau bagaimanapun telah menafikan peristiwa tersebut berlaku kerana beliau berada di Sabah.
Pada asalnya dijadual untuk tayangan bermula 13 September lalu sebelum ditunda kepada 15 November atas alasan kekurangan promosi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan