![]() |
Kerisauan orang muda di Malaysia adalah tekanan ekonomi. Beban isirumah yang meningkat, pada masa yang sama, kadar gaji yang tidak mencukupi punca kepada kegelisahan rata-rata orang muda. Warga kota terutamanya, kini merasakan kesan langsung ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan keluarga, beban kos dan saraan hidup yang tinggi adalah peringatan yang diambil kira.
Inflasi harga barang yang berturutan meningkat, kos perumahan yang meningkat mendadak saban tahun dan beban hutang pendidikan mendorong hutang isi rumah melonjak dengan tinggi. Kesannya, lebih ramai orang muda menghadapi risiko kebarangkalian muflis. Dilema sebegini mendorong mereka untuk cenderung mengambil jalan mudah. Tekanan sosioekonomi menyebabkan golongan muda senang terjebak dengan masalah pelaburan skim cepat kaya seperti skim piramid. Namun, tahap kiraan “landing” pelaburan yang berisiko menyebabkan budaya berhutang semakin serius.
Keculasan ekonomi berpunca daripada kegagalan dasar makroekonomi kerajaan memastikan pertumbuhan setara tiap tahun. Hajat untuk menjadi negara yang dikategorikan maju perlulah berdasarkan prasyarat yang ditetapkan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank iaitu pertumbuhan tetap 7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun dan peningkatan pendapatan per kapita daripada US$8,000/tahun kepada US$15,000/tahun.
Malaysia menghadapi masalah “middle-income trap” dimana peningkatan kadar gaji setiap tahun hanya melonjak pada kadar yang rendah. Dekad kebelakangan ini menunjukkan KDNK mengunjur 5.3 peratus setiap tahun. Manakala, purata kenaikan gaji hanya 2.6 peratus setiap tahun sepanjang tahun 2005-2009. Namun, angka inflasi meningkat lebih banyak berbanding kenaikan gaji secara purata, iaitu berjumlah 3.2 peratus secara purata.
Pembahagian kekayaan juga berat sebelah. Golongan kelas-menengah dan rendah tidak mendapat bantuan secara menyeluruh manakala golongan pemodal mendapat biaya yang lebih daripada kerajaan. Jurang pendapatan meningkat menyebabkan ketaksetaraan ekonomi semakin ketara, golongan yang memperoleh kekayaan 20 peratus teratas kepada golongan 40 peratus terbawah melompat daripada RM659 pada tahun 1970 kepada RM8,547 pada tahun 2009, merujuk kepada kajian Household Income Survey (HIS) oleh pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid. Koeffisien GINI yang digunakan untuk mengukur jurang pendapatan kelas menengah rendah — menengah atas pula menunjukkan kadar GINI di Malaysia sekitar 0.461 peratus, dan angka ini menunjukkan jurang pendapatan di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di Asia.
PENINGKATAN HUTANG ISIRUMAH YANG TIDAK MAPAN
Peningkatan hutang isirumah dalam membiayai tanggungan kebanyakan rakyat Malaysia merupakan kegiatan ekonomi yang tidak sihat. Kebergantungan pada kadar hutang menyebabkan keadaan ekonomi di Malaysia semakin bermasalah. Terutamanya golongan muda, beban hutang yang tinggi mengakibatkan mereka terjerumus kepada masalah muflis. Kos inflasi yang meningkat diikuti dengan konsumpsi hutang yang berterusan menyebabkan kebanyakan orang muda terpaksa menghabiskan sebahagian pendapatan mereka untuk membayar hutang yang meliputi hutang perumahan, hutang pendidikan dan hutang kereta.
Seterusnya, pendapatan boleh belanja (disposable income) berkurangan. Lantaran, kuasa beli (purchasing-power) yang mutlak di tangan pengguna menurun menyebabkan konsumpsi mereka terhadap barangan komoditi berkurang. Inflasi harga barang yang meningkat juga menyebabkan kuasa beli mereka turun secara meruncing, lantas mengakibatkan aktiviti perniagaan domestik kurang berkehasilan dan menjana krisis ekonomi yang teruk.
Menurut Laporan Rasmi Bank Negara 2010, hutang isirumah di Malaysia pada hujung tahun 2010 berjumlah RM581 billion bersamaan 76 peratus daripada jumlah KDNK negara. Ini merupakan trend ekonomi yang membingungkan. Rata-rata rakyat Malaysia menghabiskan separuh daripada pendapatan isirumah mereka untuk membayar hutang secara keseluruhan. Jadi, pendapatan boleh belanja (disposable income) yang berkurangan menggalakkan mereka menambah jumlah hutang sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan kos barangan yang meningkat. Kebolehupayaan mereka untuk berbelanja juga semakin kurang akibat tekanan mendasar seperti bayar balik pinjaman pendidikan, perumahan dan kereta.
Secara purata, nisbah servis hutang kepada pendapatan boleh belanja hanya bersesuaian pada kadar 30 peratus, dimana satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan isirumah digunakan untuk membayar hutang. Nisbah servis hutang (debt-service ratio) menyaksikan trend peningkatan semenjak daripada tahun 2006-2010 yang naik begitu mendadak sekali sebanyak 40 peratus. Menurut Financial Stability and Systems Report 2010, kadar nisbah servis hutang (debt service ratio) pada tahun 2006 berjumlah 9.1 peratus, meningkat 49 peratus pada tahun 2009 dan berkurangan sedikit sebanyak 47.8 peratus pada tahun 2010.
Jadi, purata rakyat Malaysia membelanjakan hampir 50 peratus pendapatan mereka untuk membayar hutang. Seterusnya, peningkatan 9.7 peratus setiap tahun nisbah hutang menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia terbeban dengan hutang yang bertimpa-timpa. Jadi, mereka mempunyai kurang daripada 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk digunakan untuk membeli barangan keperluan harian seperti makanan, barangan dapur, pakaian dan bil-bil harian seperti Astro, bil telefon-air dan bil telefon bimbit dimana barangan ini sekaligus meningkat setiap tahun menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat Malaysia. Tambahan pula, golongan muda yang berpendapatan kurang daripada RM3,000/bulan memeritkan lagi mereka untuk berhadapan dengan tekanan ekonomi seperti ini.
POLISI KERAJAAN YANG MENGGALAKKAN HUTANG
Program roadmap Economic Transformation Programme (ETP) yang dirangka kerajaan Barisan Nasional tidak hanya lebih mengisi keperluan pelabur-pelabur luar. Namun, pada masa yang sama, mereka mengabaikan keperluan pengguna domestik yang menerima implikasi lanjut akibat daripada kegagalan kerajaan mengawal dasar monetari negara. Kelonggaran monetari menyebabkan lebih banyak bank menawarkan pinjaman pada kadar bunga yang rendah. Trend sebegini mendorong golongan muda untuk mengikat diri mereka dengan hutang, sekaligus memperhambakan diri mereka dengan hutang yang tidak mampu dibayar.
Kemudian, tindakan kerajaan untuk mengenakan cukai GST (Goods and Service Tax) kepada pengguna bukan sahaja tidak sesuai, malahan ia merupakan tindakan makroekonomi yang tidak bijak. Lantaran, rakyat Malaysia terlantar dengan beban hutang yang meningkat dengan gaji yang rendah berbanding inflasi yang meningkat pada jumlah yang lebih tinggi. Kini, kerajaan pula mahu mengenakan cukai GST untuk menguntungkan industri yang selama ini menekan pengguna.
ETP yang dirancang kerajaan tidak menggariskan langsung tentang langkah kerajaan mengawal budaya berhutang yang bermasalah. Malah, mereka menggalakkan lagi bank untuk memberikan pinjaman pada kadar yang tidak berpatutan dan selari dengan gaji mereka. Implikasinya, harga hartanah meningkat disebabkan permintaan hutang yang tinggi. Harga hartanah di sekitar Lembah Klang meningkat hampir 200 peratus. Kini, kos sebuah unit teres di Ampang, Kajang dan Petaling Jaya mendadak sehingga RM700,000/unit yang sama sekali tidak masuk akal.
Dasar perumahan yang longgar juga menyebabkan golongan pemaju perumahan lebih banyak mendirikan hartanah yang bersifat “high end” untuk memenuhi permintaan golongan ekspatriat daripada Timur Tengah, pada masa yang sama — peratusan rakyat Malaysia yang tidak memiliki hartanah persendirian adalah tinggi. Malah, pada kadar 64 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berpendapatan isirumah kurang daripada RM3,000/bulan, harga rumah akibat daripada permintaan pasaran yang tidak terkawal sehingga harga hartanah melonjak lebih daripada taraf mampu menyebabkan rakyat Malaysia semakin menghadapi masalah tekanan ekonomi yang tinggi.
Subsidi kerajaan yang bersifat “cashout” seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM), rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar, Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM) tak ubah seperti subsidi cetek jika dibandingkan dengan tekanan ekonomi yang mereka. Malah, tindakan sebegini seperti memperlekehkan keperluan golongan muda yang bergelut dengan beban hutang. Akibatnya, mereka sengsara pabila berhadapan dengan cabaran dan kos hidup yang mendadak.
Apalah sangat jika dibandingkan dengan kos mencecah US$2 juta untuk membawa selebriti seperti Psy untuk persembahan nyanyian selama 8 minit berbanding majoriti rakyat Malaysia yang tertekan saban hari dengan kehendak ekonomi yang sulit. Apakah begitu mudah Barisan Nasional menghabiskan wang berjuta-juta ketika rakyat menghadapi tekanan ekonomi untuk hidup?
Tidakkah kita sebagai rakyat Malaysia mahukan perubahan atau terus kekal dengan rejim yang sedia ada?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan