Dalam satu kenyataan hari ini, pemimpin Umno tersebut berkata kerajaan negeri sehingga hari ini gagal mendakwa pemimpin BN yang dikatakan terlibat dalam amalan kotor tersebut kecuali bekas MB Datuk Dr Khir Toyo.
“Dia tokoh korporat yang dikagumi, dipilih menjadi Menteri Besar kerana kononnya mahu mencari rasuah yang dilakukan dalam kerajaan BN Selangor sebelum ini.
“Selepas lima tahun memerintah tiada satu pun kecuali kes Datuk Dr Khir Toyo itu pun kes peribadi bukan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan,” kata ahli parlimen (MP) Pulai tersebut.
Nur Jazlan (gambar) juga menuduh kerajaan negeri Selangor gagal menguruskan belanjawan dengan baik dan tidak memanfaatkan wang lebihan yang dikatakan diperoleh menerusi pelaburan ke dalam negeri tersebut untuk kepentingan rakyat negeri tersebut.
“Mana duit lebihan hasil amalan korup dan penyelewengan itu?
“Mereka dakwa berjaya menjimatkan 24 peratus perbelanjaan jalan raya di Selangor sepanjang sembilan bulan tahun lalu, siapa yang rugi kerana jalan raya tidak diselenggara atau dibina...sudah pasti rakyat Selangor itu sendiri,” tambah beliau.
Berbeza dengan kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, pengerusi Uda Holdings Bhd itu berkata dasar dan polisi yang diamalkan kerajaan lebih mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya.
“Segala dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) jelas memberikan kebaikan kepada rakyat, jika kita korup dan mengamalkan kronisme, bagaimana Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2.0 boleh dilaksanakan?
“Jika segala-galanya percuma di bawah PR, tidak mustahil nasib ekonomi Malaysia akan menjadi seperti di Greece yang akhirnya bankrap dan terpaksa meminta bantuan kewangan antarabangsa,” ujar beliau lagi.
Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran PR dibawah MB sepenggal Abdul Khalid yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.
PR ketika ini mempunyai penguasaan yang ketara keatas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen.
Kemenangan tujuh kerusi negeri kepada BN dalam pilihan raya yang diadakan sebelum Jun akan memberikan gabungan kerajaan pusat tersebut menawan semula Selangor dengan majoriti mudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan