Abdul Khalid dan Noh Omar antara yang menyambut ketibaan jenazah dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban, di Subang, hari ini. – Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
Abdul Khalid berkata, insiden berdarah Lahad Datu semalam sewajarnya menjadi contoh dan iktibar kepada anggota keselamatan negara untuk memastikan negara tidak diceroboh sewenang-wenangnya.
"Saya tidak berbincang perkara ini, ia adalah isu negara, negarawan mesti terima hakikat bahawa pahlawan kita telah bekerja dan bertugas dengan begitu baik demi keselamatan negara.
"... Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga pahlawan kita yang telah berkorban untuk mempertahankan negeri dan negara Malaysia," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan negara kepada mangsa terbabit di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri Selangor akan menziarah ahli keluarga Allahyarham Koperal Sabarudin Daud, 46, yang terkorban bagi memastikan kebajikan balu dan waris terjamin serta mendapat perhatian sewajarnya.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk mendoakan agar dirahmati ALLAH dan mendapat ganjaran yang sewajarnya.
"...Kerajaan Negeri Selangor, sudah tentulah, kita akan berjumpa dengan ahli keluarga dari daerah Sabak Bernam yang berada di Sungai Besar untuk mengikuti perkembangan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan