HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2013

Tanah: Tawaran PR Pahang tepat pada masa

Khairil Abdul Rahim,




BERA: Tawaran Pakatan Rakyat (PR) Pahang untuk menyelesaikan permohonan tanah yang tertangguh dan memudahkan pertukaran status tanah dianggap tepat pada masanya kerana isu tersebut sentiasa menjadi rungutan rakyat.

Penganalisis ekonomi Pahang, Syed Ali Badaruddin Othman berkata, janji PR menyediakan lot-lot rumah untuk rakyat negeri ini yang layak juga memangnya ditunggu-tunggu rakyat kerana menjamin kehidupan hingga ke generasi akan datang.

“Pahang ini mempunyai tanah yang luas berbanding rakyatnya  hanya 1.5 juta orang, tepatlah tawaran itu bagi kita memacu agenda rakyat.

“Bukan Melayu saja miskin, Cina pun ada yang miskin India pun ada. Tapi untuk mendapatkan tanah sampai berpuluh-puluh tahun, ada kalanya tak diluluskan, semuanya gara-gara birokrasi,” katanya ketika berceramah di Pusat Khidmat PAS Triang di sini. (Gambar atas)

Katanya,  bayangkan jika kaedah diguna pakai kerajaan sekarang proses tukar nama daripada suami kepada isteri mengambil masa bertahun-tahun. Begitu juga untuk proses tukar nama, pecah lot dan pembahagian pusaka juga terpaksa mengambil masa yang lama kerana karenah birokrasi.

Tambahnya, pengurusan semua proses itu bukannya percuma tetapi semuanya berbayar.

“Jadi tawaran untuk memproses semua tanah dengan cepat itu tepat pada masanya kerana kerajaan negeri dapat duit hasil dengan cepat berikutan kecekapan dalam pengurusan.

“Tidaklah rakyat terpaksa tunggu nak mintak tanah seekar dari anak kepada cucu, dari cucu kepada cicit tak lulus-lulus. Tanam pokok durian, pokok durian berbunga dia pun mati, inilah masalahnya,” ujarnya lagi.

Turet berceramah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Kim, Adun Triang Leong Ngah Ngah, Yang Dipertua PAS Kawasan Bera Sulaiman Mohamed, timbalannya Musaniff Abdul Rahman dan Setiausaha Organisasi DAP Pahang Lee Chen Chin.

Syed Ali berkata, sebaliknya kerajaan negeri boleh meluluskan dengan mudah dan pantas tanah kepada syarikat gergasi.

“Bersama saya ada dokumen kerajaan negeri meluluskan beribu-ribu ekar tanah kepada syarikat Rangkaian Delima iaitu kroni Umno. Beratus ribu ekar melalui pajakan negeri kepada syarikat kroni. Letih kita nak dapat seekar pun susah, syarikat boleh dapat ratus ribu.

“Begitu juga lombong bijih besi hanya diberi kepada individu untuk jaga orang politik melalui tauke. Pahang ini negeri kaya, saya yakin jika dengan pentadbiran yang baik dan cekap negeri boleh dapat kutipan RM1 bilion setahun, sudah memadai untuk menjaga sosio ekonomi rakyat negeri ini,” katanya.

Syed Ali juga memuji bandar Triang yang begitu pesat membangun sehingga kemajuannya lebih baik daripada Pekan dan Rompin walaupun sudah lima penggal dimenangi DAP.

“Ini jelas membuktikan kawasan dimenangi pembangkang maju, apa lagi jika kita pilihnya sebagai sebuah kerajaan,” ujarnya.

Kemajuan Triang menyebabkan semua jenis bank perdagangan terdapat di situ sehingga penduduk dalam Dun Pelangai yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, yang mempunyai urusan kewangan terpaksa ke Triang.

Sementara itu, Teng Chang Kim dalam ceramahnya mengatakan lima tahun pentadbiran PR di Selangor lebih baik daripada 50 tahun di bawah BN.

Katanya, rakyat menikmati air percuma 20 meter padu, bayi yang baru lahir diberikan wang simpanan bernilai RM1,500, kelas tuisyen percuma untuk pelajar, RM1,000 yang layak masuk universiti, RM200 bagi lelaki berkahwin kali pertama, pemeriksaan kesihatan percuma,  RM2,500 bagi warga tua dan RM6 juta setahun untuk sekolah agama rakyat.

“Sepanjang lima tahun ini kerajaan Selangor sudah membelanjakan RM800 juta untuk kebajikan rakyat Selangor. Jadi rakyat Pahang jika mahukan kemudahan seperti rakyat Selangor, kena pilih PR selepas ini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada kira-kira 1,000 yang hadir.

Tiada ulasan: