SHAH ALAM: Walaupun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memberi jaminan tidak akan ada catuan air berikutan bekalan air mentah mencukupi, namun ianya tidak memadai apatah lagi dengan cuaca kering selain kadar taburan hujan yang sangat sedikit.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (AWER), S
Piarapakaran berkata, kerajaan negeri tetap perlu melakukan catuan air
secara berjadual dengan kadar segera bagi mengelakkan empangan terus
berada pada paras kritikal sehingga memungkinkan krisis air berulang,
malah dikhuatiri semakin teruk berbanding beberapa bulan lalu.
Sambil menghuraikan hujahnya, Piarapakaran berkata, kerajaan negeri
perlu melakukan perancangan berdasarkan situasi cuaca yang sedang
berlaku kini.
"Kita sudah ada jangkaan, di mana akan berlaku El Nino. Jika El Nino
berlaku, seperti 1997 dan 1998, ia dalam kadar lemah. Tetapi dalam kadar
lemah pun, ia menjejaskan Lembah Klang disebabkan itu. Adakah kita
bersedia?
"Jadi dalam risiko kekurangan taburan hujan dan kemungkinan berlaku El
Nino, saya rasa catuan air adalah satu tindakan yang lebih wajar,"
ujarnya kepada Antarapos sambil berkata, langkah tersebut akan
memastikan kewujudan air dalam empangan untuk tempoh jangka masa yang
lebih panjang.
Malah katanya, kerajaan negeri juga tidak boleh bergantung kepada
jangkaan taburan hujan, kerana musim monsun perantaraan yang sepatutnya
membawa hujan lebat berkemungkinan tidak berlaku seperti yang
dijangkakan.
"Taburan hujan yang tinggi hanya dibawa oleh monsun perantaraan yang
membantu mengisi empangan. Monsun perantaraan yang lepas (Mac-April)
membawa taburan hujan yang kurang.
"Cara mereka buat jangkaan ini ibarat mereka sudah bercakap dengan
Tuhan, sepertinya akan berlaku hujan dalam bulan September. Sebelum ini
pun mereka kata dalam monsun perantaraan kita takkan ada masalah, tapi
lihatlah, paras empangan Sungai Selangor tak naik," katanya beremosi.
Khalid semalam memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan melaksanakan
program catuan air secara berjadual bagi mengimbangi bekalan air di
beberapa buah kawasan walaupun musim kering melampau ketika ini.
Khalid juga menafikan dakwaan kononnya paras air di beberapa empangan
di negeri ini masih di bawah paras minimum dan membimbangkan selain
kerajaan negeri mempunyai beberapa opsyen bagi memastikan bekalan air
mencukupi sehingga bulan November yang dijangka musim tengkujuh.
Menurut statistik laman web LUAS iaitu www.iwrims.luas.gov.my pada 31
Julai, paras air di dua empangan yang masih di bawah paras minimum ialah
Sungai Selangor (33.46%) dan Sungai Tinggi (47.39%).
Sikap Khalid yang seperti 'berpura-pura' mengetahui paras air itu dibidas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Charles berkata sekiranya catuan dan usaha penjimatan air tidak dilakukan segera, Selangor tiada lagi bekalan air untuk dicatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan