HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2014

MB: Kukuh perpaduan & pelihara keharmonian masyarakat

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Rakyat Selangor diingatkan supaya sentiasa menjalin hubungan baik sesama kaum sebagai usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hubungan kukuh di kalangan masyarakat secara tidak langsung mampu menghindar sikap menghina atau mencela agama dan amalan budaya kaum lain.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Beliau berkata kurangnya pengetahuan serta kefahaman sebilangan rakyat terhadap agama dan budaya antara kaum boleh menyebabkan perpaduan di kalangan masyarakat sukar dicapai.

“Dalam masyarakat majmuk perpaduan adalah tunjangnya, hubungan baik antara kaum adalah keutamaannya, kerjasama dan tolak ansur adalah syaratnya manakala menghina bangsa, agama dan budaya adalah pantangnya.

“Oleh itu, semua pihak perlu terus
memberi kefahaman tentang ajaran Islam agar tidak terus dihina dan dicaci kerana umat Islam sendiri dilarang menghina atau mencerca berhala atau sembahan agama selain Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Ulangtahun ke-57 Kemerdekaan di Dataran Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut meminta semua pihak supaya menghormati institusi raja berperlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor (1959) termasuk menghormati pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, adil dan berintegriti.

“Saya perlu menyentuh hal ini kerana akhir-akhir ini terdapat pula pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mempersoalkan hak mutlak Sultan atau institusi beraja Selangor dan Raja-Raja Melayu,” katanya lagi.

Sambutan malam kemerdekaan peringkat negeri Selangor yang bertemakan “Selangorku Sejahtera, Rakyat Terbela” disambut penuh patriotik namun sederhana dengan dihadiri kira-kira 10,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain sambutan merdeka, Kerajaan Negeri turut menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Belia 2014.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM200,000 kepada Yayasan Amal Malaysia bagi membantu penduduk Palestin yang berdepan serangan rejim zionis Israel pada Julai lalu.EZY

Tiada ulasan: