HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2014

Nik Nazmi: Mengapa kes 'pancung' dibiarkan?

MALAYSIAKINI


 


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mempersoalkan tindakan kerajaan yang membiarkan ancaman ketua penerangan PERKASA Ruslan Kassim untuk memancung kepala empat wakil rakyat PAS.

Katanya, sikap itu berbeza dalam kes melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, yang didakwa mengikut Akta Hasutan dan undang-undang lain.

"Banyak pimpinan BN, ISMA dan PERKASA yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang nyata bersifat jenayah tetapi tiada apa-apa tindakan," katanya.

Beliau memberi contoh, laporan polisnya ke atas Ruslan atas kenyataan yang dibuat oleh pemipin PERKASA itu pada 23 Jun, dalam satu perhimpunan bagi menyokong pihak berkuasa agama Islam Selangor.

Perhimpunan itu bagi membantah kenyataan empat MP PAS – Khalid Samad (Shah Alam), Hanipa Maidin (Sepang), Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) – yang menggesa kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor dilucutkan.

“Kalau mereka tidak berhenti dari terus memperkotak-katikkan agama, kalau mereka tak berhenti dari terus memperlekehkan DYMM sultan, kita akan memancung leher mereka.

“Lebih baik mereka berambus, lebih baik mereka mati, lebih baik tidak berada di negara ini, daripada menjadi penyakit, menjadi virus, jadi parasit pada agama kita, bangsa kita, negara kita,” kenyataan Ruslan dipetik.

Beliau sekadar menjelaskan bahawa kenyataan itu bermaksud untuk "memancung masa depan politik" empat ahli parlimen PAS itu sahaja, apabila ia mencetuskan kontroversi meluas.

Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi seterusnya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memansuhkan Akta Hasutan dengan segera dan tidak lagi menindas pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kalau benar Najib menepati janji, saya mendesak supaya beliau segera memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini seperti yang telah beliau katakan.

“Hentikan pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan Pakatan serta-merta.

“Dengan penghapusan Akta Hasutan 1948 ini, tiada lagi rakyat yang akan ditindas hanya kerana kelantangan mereka menyuarakan pendapat mahupun mengkritik kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: