MALAYSIAKINI
ULASAN Penangkapan secara
sewenang-senang dan pendakwaan terpilih yang semakin kerap terhadap
pimpinan Pakatan Rakyat, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan
Negeri, menjelang sambutan ulangtahun Merdeka ke-57 pada 31 Ogos ini,
menandakan lahirnya Despotisme Baru dalam landskap politik Malaysia.
Semalam sahaja dua orang pemimpin Pakatan Rakyat diheret ke mahkamah untuk berhadapan dengan dakwaan jenayah, iaitu Naib Presiden
PKR dan MP Pandan Rafizi Ramli serta MP PKR Padang Serai N Surendran.
Rafizi didakwa dengan tuduhan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan
kerana membuat kenyataan ‘fitnah dan provokasi’ terhadap ahli Umno,
manakala Surendran dikenakan dakwaan di bawah Akta Hasutan berhubung
dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pembebasan Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam perbicaraan liwat 2 – dakwaan di bawah Akta Hasutan
kedua yang dikenakan terhadap Surendran dalam masa 10 hari.
Dalam sepuluh hari terakhir ini juga seorang MP Pakatan yang lain dan
dua ADUN diheret ke mahkamah. MP PAS Shah Alam Khalid Samad dan ADUN DAP
Seri Delima RSN Rayer didakwa di bawah Akta Hasutan, manakala ADUN PAS
Changkat Jering Datuk Seri Nizar Jamaluddin didakwa dengan fitnah
jenayah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
MP Pakatan lain yang sedang dibicarakan di bawah Akta Hasutan termasuk MP DAP Seputeh Teresa Kok dan MP PKR Batu Tian Chua.
Jika kerajaan Barisan Nasional berjaya bukan sekadar menyabitkan, malah
dengan hukuman denda lebih RM2,000 dan penjara setahun yang membatalkan
kelayakan sebagai wakil rakyat, ia bermakna lima Pilihan raya Kecil
(PRK) peringkat Parlimen bakal diadakan, iaitu Seputeh, Batu, Pandan,
Padang Serai dan Shah Alam dan dua PRK peringkat DUN - Seri Delima dan
Changkat Jering.
Jika kita menyertakan kemungkinan PRK di Permatang Pauh, iaitu kalau
Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29
Oktober ini, maka kita melihat kepada kemungkinan besar enam PRK
peringkat Parlimen yang berpunca daripada siri terbaru tangkapan dan
pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan.
Ini adalah kemuncak ironi kerana Najib, pada Julai 2012, telah mengumumkan yang Akta Hasutan akan dimansuhkan sebagai sebahagian
daripada Program Transformasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai
“negara demokrasi terbaik di dunia,” namun hakikatnya beliau mencipta
rekod baru menggunakan akta itu terhadap Ahli Parlimen dan ADUN. Malah,
‘pencapaian’ beliau mengatasi 22 tahun ‘zaman gelap’ di bawah
pemerintahan Tun Dr Mahathir.
Lima MP (termasuk Karpal Singh) dan seorang ADUN telah didakwa kerana
menghasut sepanjang enam tahun pentadbiran Najib. Sedangkan sepanjang 22
tahun pemerintahan Mahathir hanya seorang MP yang didakwa, dipenjara,
dan digugurkan sebagai MP, iaitu Lim Guan Eng.
Tentunya, Mahathir ‘dibantu’ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang
terkenal dengan tahanan tanpa bicara, namun ia bukanlah alasan untuk
memulakan zaman kuku besi baru di bawah kepimpinan Najib. Kebebasan
demokratik akan terjejas jika Akta Hasutan dan undang-undang lain yang
tidak demokratik dan menindas digunakan sebagai senjata.
Bukan sahaja Najib dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang
perlu dipertanggungjawabkan atas era kuku besi baru di Malaysia, seluruh
menteri kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional harus
dipertanggungjawabkan. Mereka perlu menjauhkan diri daripada
tindakan-tindakan yang menyebabkan kemerosotan demokrasi. Jika tidak,
mereka boleh dianggap bersubahat melahirkan era pemerintahan kuku besi
baru di Malaysia.
LIM Kit Siang adalah Ahli Parlimen Gelang Patah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan