MALAYSIAKINI
PAS Johor menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa khas melibatkan
pelbagai pihak bagi merangka penyelesaian terhadap kes warga asing
dipercayai merusuh dan membakar bangunan kilang di Kulaijaya, Johor
semalam.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman mencadangkan jawatankuasa
yang dibentuk itu merangkumi wakil Kementerian Sumber Manusia, kesatuan
sekerja, majikan dan pekerja terlibat.
Ia, menurutnya lagi, harus ditubuhkan segera bagi “mewujudkan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang”.
“Insiden terbaru ini bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan
majikan yang tentu sahaja menjejaskan produktiviti, nama baik Malaysia
di mata dunia juga dipersoalkan,” katanya.
Polis setakat ini menahan 42 pekerja Nepal yang dipercayai merusuh dan
membakar sebahagian bangunan kilang membuat komponen pemacu cakera keras
di Taman Perindustrian Kelapa Sawit dekat Kulaijaya semalam.
Bernama melaporkan, dalam kejadian itu, kira-kira 800 pekerja asing
mengadakan mogok bermula pukul 9 pagi termasuk membakar kereta milik
seorang pengurus kilang dan merosakkan bangunan kilang.
Tindakan didakwa dilakukan berikutan rasa tidak puas hati terhadap majikan yang dikatakan mengabaikan kebajikan mereka.
Keadaan pada awalnya berakhir dengan baik selepas kedua-dua pihak
mengadakan rundingan, bagaimanapun ia bertukar ganas apabila sebahagian
daripada mereka membakar sebuah daripada empat blok kilang malam tadi.
Dalam kenyataannya hari ini, Mazlan juga berkata, pihaknya dukacita
kejadian yang memperlihatkan aksi agresif itu tetapi mengucapkan tahniah
atas tindakan pantas polis mengawal suasana dan bomba yang memadamkan
kebakaran.
Justeru, katanya, penahanan warga asing yang disyaki terlibat juga amat wajar bagi mencari dalangnya.
Beliau pada masa yang bagaimanapun mengingatkan supaya sumbangan pekerja asing di negara ini tidak harus diremehkan.
“Harus di ingat, sumbangan pekerja asing sebagai guna tenaga di negara
ini sangat tinggi. Jangan diremehkan soal kebajikan mereka,” katanya
yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan