MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat
Selangor menilai secara rasional perkembangan politik di Selangor.
Najib yang juga pengerusi BN berkata 'nepotisme terbuka' sedang berlaku
di negeri Selangor di mana wakil rakyat yang sihat disuruh meletak
jawatan dan digantikan dengan isteri sendiri dan satu pilihan raya kecil
diadakan dan selepas itu isteri sendiri dicalonkan untuk menjadi
menteri besar.
"Cuba bayangkan, kalau dalam BN kita angkat isteri menjadi menteri
besar, kita akan dituduh nepotisme terbuka tetapi ini sedang berlaku di
Selangor.
"Ini terserah kepada rakyat Selangor cuba fikirkan apa yang baik dan
patut lakukan berasaskan pertimbangan masuk akal dan rasional dan
pertimbangan ini menyelamatkan negeri dan negara kita secara
keseluruhan.
"Pertimbangan bermotif sesuatu seperti ada udang 'galah' di sebalik batu
akan merugikan rakyat," katanya di majlis mesra Aidilfitri Umno
Peringkat Selangor yang dihadiri lebih 10,000 orang di Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan (Cina) di Dengkil malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Badan Penghubungan Umno Selangor dan Pengerusi
Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Najib berkata kerajaan pusat melahirkan penghargaan kepada Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersetuju menandatangani
perjanjian mengenai Projek Loji Rawatan Air Langat 2 untuk dilaksanakan
bagi menjamin bekalan air berterusan kepada rakyat negeri Selangor,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata walaupun perjanjian itu sepatutnya ditandatangani tiga
tahun dulu tetapi politik telah mengatasi pertimbangan rasional Abdul
Khalid.
"Menteri Besar Selangor sudah sedar bahawa keputusan kerajaan pusat
sebelum ini adalah benar dan tepat, tanpa Langat 2 tiada jaminan bekalan
air," katanya.
Sementara itu, Najib berkata tragedi MH17 ada hikmahnya apabila rakyat
Malaysia di seluruh negara yang dilanda perasaan sedih dan pilu,
disatukan, dengan bertafakur selama seminit, sebagai tanda penghormatan.
"Kita bersatu dalam kesedihan. Inilah keadaan yang amat unik dan
teristimewa apabila kita dapat lupakan persengketaan, perbezaan ideologi
politik, tidak kira bangsa dan agama tetapi atas dasar kita rakyat
Malaysia, kita kongsi kesedihan dan simpati.
"Ini menunjukkan dalam ujian tersebut, rakyat Malaysia boleh bersatu dan
tiada rintangan yang tidak boleh ditempuhi," kata Najib.
Sebelum itu, Najib bersama hadirin bertafakur selama seminit untuk
memberi penghormatan kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS)
MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan juga MH370
yang hilang sejak Mac 8.
Di majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji di Parlimen Sepang yang bakal menunaikan haji.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan