HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2014

Kawasan tadahan banjir bakal dibina di Rawang

Oleh: ASRI SAPFIE


RAWANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang sedang giat mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan itu termasuk projek melebar dan mendalamkan sungai yang siap dilaksanakan.

Timbalan Pengarah JPS Gombak, S V Kalaiselvam, berkata pembesaran dan kerja mendalamkan Sungai Gong juga bertujuan mengatasi masalah banjir yang kerap melanda kawasan Rawang.

“Kami berpuas hati kerana projek meluas dan mendalamkan sungai ini dapat disiapkan awal kerana bimbang musim hujan berpanjangan yang bakal tiba dan menyukarkan kerja dijalankan.” katanya.

YB Gan Pei Nei lawat projek JPS besarkan sungai (5)Projek sepanjang tiga kilometer yang bermula dari Lebuhraya Utara-Selatan sehingga muara pertemuan Sungai Gong dan Sungai Kundang menelan belanja kira-kira RM60,000 itu bermula 4 Ogos lalu dan disiapkan hampir dua minggu.

Hasil daripada projek berkenaan, tambahan kedalaman 0.5 meter dan pelebaran 13 meter ke atas sungai terbabit siap dilakukan.

Kalaiselvam berkata, itu adalah penyelesaian jangka masa terdekat bagi masalah banjir sementara menunggu kelulusan peruntukan RM5 juta melalui Caruman Parit untuk membina sebuah kawasan tadahan banjir yang berkeluasan kira-kira lapn ekar yang dijangka bermula awal tahun hadapan.

“Pejabat tanah sudah meluluskan projek ini dan kawasan terbabit dalam proses untuk diwartakan. Kami juga sudah selesaikan segala proses yang membabitkan reka bentuk dan tinjauan, sementara menunggu melaksanakan projek ini sepnuhnya pada tahun hadapan.” katanya

Sementara itu, ADUN Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia dapat menyelesaikan hampir keseluruhan masalah banjir yang kerap melanda kawasan Rawang melalui projek takungan banjir itu.

YB Gan Pei Nei lawat projek JPS besarkan sungai (1) (1)

“Lebih 40,000 penduduk Rawang terkesan dengan banjir besar yang melanda tahun lalu dan saya berharap masalah ini tidak akan berulang.” katanya.

Beliau berharap semua pihak mengambil berat kebersihan sungai dan terbabit dalam aktiviti yang dianjurkan JPS seperti program sungai angkat bagi membendung pencemaran sungai.

“Saya juga menyeru semua penduduk dan badan yang terbabit supaya berganding bahu serta tenaga bagi memastikan sungai di kawasan masing-masing kekal bersih juga bebas daripada sebarang pencerobohan. Jadikan sungai sebagai aset kita bersama.” katanya.

Banjir kilat yang melanda sekitar Bandar Contry Homes, Rawang pada 23 Disember 2013 disifatkan antara yang terburuk pernah melanda kawasan itu yang mengakibatkan ribuan penduduk terkandas dan mengalami kesesakan teruk dari arah Jalan Batu Arang ke Aeon Rawang.-NFN-

Tiada ulasan: