HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2014

[BAHAGIAN 2] Patutkah Lim Kit Siang jadi orang tengah selesai krisis PKR-PAS?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Soalnya adakah wajar dan berbaloikah jika Lim Kit Siang diberi amanah untuk mendamaikan semula PAS dan PKR?
 
Namun sebelum itu harus disemak dahulu mengapakah DAP berterus-terusan dalam kemelut ini menyokong setiap langkah politik PKR? 
 
Apakah sebenarnya yang DAP dapat lihat tetapi tidak nampak atau kurang difahami PAS dalam menghadapi sikap “ketegaq” PKR yang bermati-matian mahu Wan Azizah menjadi Menteri Besar ini?
 
Memang umum maklum bahawa DAP sentiasa tidak selesa dengan halatuju politik PAS. Dari masa ke masa ia akan bergelut dengan PAS atas soal isu negara Islam, undang-undang hudud dan bergeser dalam pelbagai soal sensitiviti agama. 
 
Ini boleh mendorong kepada rumusan bahawa jika diberi pilihan, DAP akan lebih mudah untuk mesra PKR yang mempunyai dasar yang lebih kurang sama dengan amalan politiknya. 
 
DAP juga mungkin melihat PKR boleh memberi sumbangan dividen politik lebih besar berbanding PAS. 
 
Dengan PKR, DAP lebih mudah mententeramkan ahli-ahlinya yang majoriti berbangsa Cina bahawa dalam kerangka politik Malaysia, PKR adalah parti majoriti Melayu yang mempunyai impian politik yang sama dengannya. 
 
Berjinak dengan PKR adalah lebih mudah merapati dan menguja sokongan pengundi Melayu untuk DAP berbanding PAS yang banyak dibebani dengan emosi perkauman dan agama serta kekangan kehendak syaraknya.  
 
PAS lebih berhati-hati berdepan lawan
 
Tambahan pula PKR ada Anwar Ibrahim yang bijak menyusun strategi menyerang dan memburukkan Umno-BN berbanding dengan PAS yang sering lebih bersikap “berpada-pada” mengutuk lawan. 
 
Melalui PKR, DAP lebih mudah “membahagi-bahagi zon pengaruh” dan “pecah perintah” pengaruh politik pembangkang di kalangan orang Melayu berbanding PAS yang kadangkalanya bersikap “ultra” dalam isu-isu bangsa dan agama.
 
Namun lebih penting lagi ialah DAP mungkin lebih teruja dengan strategi PKR untuk melaksanakan “Langkah Kajang” untuk melonjakkan imej Pakatan Rakyat dengan menjadikan Selangor sebagai model Negeri Berkebajikan yang sempurna kerana ia mempunyai rizab kewangan yang besar.
 
DAP mungkin yakin bahawa jika Wan Azizah yang menjadi Menteri Besar Selangor, sudah tentu pada akhirnya, Anwar Ibrahimlah yang akan menjadi peneraju de facto politik dan pentadbiran negeri itu.  
 
DAP juga sedar jika langkah ini diambil maka tidak kira sama ada Anwar dipenjarakan atau tidak kerana kesalahan liwat pembantunya, Anwar akan tetap menjadi Menteri Besar hakiki. 
 
DAP juga mungkin menafsirkan sikap “ketegaq” PKR itu bertujuan  “meringankan” sengsara Anwar jika dipenjara.
 
Melalui “sumbangan” kerajaan negeri kempen dan demonstrasi bebaskan Anwar akan bergema di seluruh pelosok tanah air. DAP mungkin yakin jika ada “halangan” dan campurtangan dari pihak berkuasa keamanan, mereka akan berhadapan dengan sebuah kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia.
 
DAP juga mungkin melihat sikap “ketegaq” PKR ini dari perspektif strategi politik lebih besar walaupun Wan Azizah mungkin akhirnya tidak diterima menjadi Menteri Besar.
 
DAP mungkin membaca strategi “hanya Kak Wan sebagai MB” ini sebenarnya satu cara untuk “memaksa” pihak istana memilih orang lain selain Wan Azizah (sama ada dari dalam PKR atau tidak) untuk menjadi Menteri Besar. 
 
PKR bijak atur langkah
 
Jika presiden PKR itu ditolak untuk jawatan berkenaan dan Anwar pula dipenjarakan, maka lengkaplah skim atau modal politik terbesar untuk pilihanraya umum ke-14 dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. 
 
Leftenan dan soldadu PKR dan DAP boleh dikerahkan ke seluruh pelosok dunia untuk berkempen betapa Umno-BN menggunakan segala instrumen kerajaan dan negara untuk menindas suara pembangkang di Malaysia.
 
Anwar Ibrahim dipenjarakan. Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail yang layak dan mendapat sokongan majoriti dinafikan hak untuk memimpin negeri paling kaya di Malaysia. 
 
Atas hujah bahawa Umno-BN patut dilabel penindas suara demokrasi akan menjadikan Malaysia “pariah” di kalangan negara yang mendakwa berkiblat kepada amalan demokrasi. 
 
Ini akan memudahkan usaha untuk memujuk masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara Maju untuk mewarnakan Malaysia sebagai negara autokratik atau kuku besi. 
 
Dalil yang boleh digunakan ialah pemenjaraan Anwar serta penafian hak Wan Azizah sebagai Menteri Besar, penodaan institusi kehakiman, dan istana adalah bukti berlaku penindasan untuk memadamkan suara demokrasi. 
 
Maka hujah yang akan dijaja ialah bahawasanya mangsa paling besar dalam amalan jahat ini ialah Anwar Ibrahim. Lantas akan lebih mudah bagi Wan Azizah, PKR bersama DAP untuk menuntut di persada antarabangsa supaya Anwar diiktiraf sebagai “prisoner of conscience” atau mangsa perbezaan politik.
 
Pengiktirafan ini adalah penting bagi kempen lanjutan “Langkah Kajang”!
 
Sudah pasti untuk pilihanraya umum ke-14 kelak Umno-BN bukan sahaja menghadapi tekanan daripada Pakatan Rakyat (terdiri daripada PKR dan DAP) tetapi desakan antarabangsa yang maha besar. 
 
DAP mungkin membaca percaturan Anwar dan PKR ini sebagai peluang dan persediaan paling besar untuk benar-benar menumbangkan Umno-BN. 
 
Justeru sebab itu, Lim Kit Siang dan juga DAP keberatan untuk bersilang pendapat dengan Anwar dan PKR. Ia menaruh kepercayaan, sama ada jadi atau tidak Wan Azizah sebagai Menteri Besar, kempen “Umno-BN punahkan demokrasi” lebih ampuh daripada sekadar slogan “ubah” dan “Asal bukan Umno (ABU)”.
 
Pada masa yang sama Kit Siang dan DAP pun dapat menghindari PAS yang jelas ibarat “duri dalam daging” Pakatan Rakyat dan merangkul pemerintahan di Malaysia dengan PKR sahaja.
 
Yang pasti DAP akur bahawa PKR mempunyai profil politik hampir sama dengannya – berbilang kaum dan agama di mana pengundi DAP ialah Melayu PKR dan majoriti pemilih Cina.
 
Sementara yang akan menyokong PKR pula ialah pemilih Cina dan majoriti Melayu liberal yang sentiasa curiga akan sikap taksub agama PAS.
 
Jika “pecah perintah” itu berlaku biarlah PAS berebut pula untuk berbahagi kawasan-kawasan undi majoriti Melayu dengan Umno (dan juga PKR). Yang pastinya DAP akan terus pastikan pengundi bukan Melayu tetap bersamanya. 
 
Masih perlukah Lim Kit Siang menjadi orang tengah?

Tiada ulasan: