HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2014

Sasar Perak bebas dadah terjejas

Oleh SYUKRI SHAARI


IPOH - Kerajaan negeri mengisytiharkan perang terhadap gejala dadah di negeri ini memandangkan tiada tanda aktiviti 'musuh' negara itu menunjukkan penurunan positif meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut menggesa semua pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan-pertubuhan agama dan pertubuhan bukan kerajaan bergerak aktif memerangi gejala dadah.

Katanya, meskipun jumlah individu di bawah pengawasan penagihan dadah dari Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan penurunan iaitu 5,981 orang berbanding 7,145 dalam tempoh sama tahun lalu, tetapi jumlah rampasan dadah sebanyak RM920,000 tidak memberi gambaran positif terhadap gejala berkenaan.

"Berikutan perkembangan ini, kerajaan negeri belum dapat petunjuk jelas berkaitan matlamat Perak bebas dadah 2015 akan dicapai. Tetapi kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap usaha membasmi gejala dadah.

"Kerajaan negeri serius dan tegas dalam usaha ini dan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan sebagai langkah drastik membasmi kegiatan dadah di negeri ini. Jawatankuasa ini akan bertindak membanteras gejala dadah sehingga ke akar umbi dan diharapkan agenda ini merentasi batas politik," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zambry berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) yang mahu mengetahui mengenai gejala penagihan dadah di negeri ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) berkaitan perkara serupa, Zambry memberitahu, kerajaan negeri mengamalkan sikap tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan gejala dadah termasuk aktiviti pengedarannya.

Katanya, tiada kompromi terhadap siapa terbabit termasuk dalam kalangan ahli keluarga, orang kanan dan sesiapa sahaja.

"Ini soal keadilan masyarakat. Kalau kita tidak tegas, masalah ini tidak akan habis.
"Apa akan terjadi kepada masyarakat sekiranya pihak yang diamanahkan melaksanakan penguatkuasaan melanggarnya," jelas beliau.- Utusan Malaysia

Tiada ulasan: