Ahmad Zahid menaikkan bendera Umno setibanya beliau di Dewan Pekan Rabu Kluang, semalam. Ahmad Zahid menaikkan bendera Umno setibanya beliau di Dewan Pekan Rabu Kluang, semalam.
 
 
 
KLUANG - Semua pihak diingatkan agar menghormati empat perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana persetujuan itu telah dicapai melalui kontrak sosial yang ditandatangani pemimpin terdahulu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat perkara itu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun.

Beliau berkata, biarpun sistem demokrasi membenarkan perbezaan pendapat antara satu sama lain, tiada kompromi diberikan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mempertikai atau mengubah perkara itu.

“Saya menyeru agar semua umat Islam dan orang Melayu tanpa mengira parti politik bersama-sama mempertahankan agama, raja dan negara kita yang sudah 57 tahun menyambut kemerdekaan ini.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi berkaitan perlembagaan ianya telah termaktub dalam perlembagaan berkenaan dan semua kena hormati,” katanya ketika merasmikan Persidangan Umno Bahagian Kluang, di Dewan Pekan Rabu, di sini, semalam.

Hadir sama dalam perasmian berkenaan ialah, Ketua Umno bahagian Kluang, Md Jais Sarday; Ketua Wanita bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain; Ketua Pemuda bahagian Kluang, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Ketua Puteri bahagian Kluang, Hasni Abdullah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sudah tentu terdapat tujuan tersurat dan tersirat melibatkan keempat-empat perkara itu sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal dahulu.

“Dalam klausa perlembagaan, apa jua keadaan yang berlaku di negara ini, empat perkara tersebut tidak boleh ditukar oleh sesiapa pun dan semua pihak harus mengetahui dan menghormati perlembagaan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan dan BN mempunyai pendirian konsisten untuk mempertahankan keempat-empat perkara itu tanpa sebarang kompromi.

“Saya juga mahu ingatkan di sini, kalau ada sesiapa yang cuba-cuba ingin menukar, menggubal atau mempersoal perkara itu agar langkah mayat ahli Umno terlebih dahulu, dan jangan sesekali melakukannya,” katanya.