HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2014

Apa Kata Pas Calonkan Dr Wan Azizah, Balasannya PKR Pula Serah Pengkalan Kubor

shahbudindotcom



Perbalahan Pas dengan PKR mengenai calon Menteri Besar Selangor masih lagi berlarutan. Sementara isu yang sama melibatkan PKR dengan DAP sudah pun selesai dengan kata putus kedua-dua parti hanya mencalonkan nama Dr Wan Azizah Wan Ismail saja, Pas masih lagi berpusing-pusing keputusannya.

Setiap kali bermesyuarat, hasilnya hanya membuahkan keputusan yang berbeza-beza.

Sehingga 3 September ini iaitu tarikh akhir yang diberikan oleh Istana Selangor, siapa calon yang bakal dinamakan oleh Pas seperti belum pasti dan masih kabur lagi.

Hari ini, di ketika Anwar Ibrahim sendiri meminta Pas mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 17 Ogos lalu yang menyetujui hanya satu nama dikemukakan kepada Sultan Selangor, Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali bertegas mengatakan dua nama akan dikemukakan oleh parti itu untuk mengelakkan Sultan Selangor seperti dipaksa memilih hanya satu nama saja.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula segara membalas, kenapa baru sekarang Pas memikirkan soal memaksa ini sedangkan ketika bersetuju menghantar hanya nama Khalid Ibrahim saja kepada Sultan Selangor selepas pilihanraya umum 2013 lalu, Pas tidak pula memikirkan perkara yang sama.

Sementara Pas menyatakan ia masih mah kekal dalam PR, dalam masa yang sama, ia juga tetap tidak setuju hanya satu nama dikemukakan kepada Sultan Selangor dan tetap mahukan dua nama.

Siapakah dua nama itu? Apakah Dr Wan Azizah masih menjadi pilihan Pas? Dan jika Presiden PKR itu masih merupakan pilihan pertama, siapa calon kedua pilihan Pas juga masih lagi misteri. Apakah Azmin Ali yang sudah menolak pencalonan sebelum ini akan dikemukakan sekali lagi atau Pas akan menamakan Adun PKR yang lain sebagai pilihan kedua?

Selain dilihat seperti tidak sekata dengan PKR dan DAP dalam pencalonan Menteri Besar Selangor, Pas juga cuba menyiku PKR dalam isu penentuan calon pilihanraya kecil Pengkalan Kubor yang bakal diadakan tidak lama lagi dengan secara terbuka menyatakan hasrat mahu bertanding di kerusi itu.

Alasan Pas ialah jika calon parti mereka diletakkan di kerusi itu, harapan untuk menang jauh lebih cerah lagi, selain mengatakan kerusi Pengkalan Kubor itu sebenarnya hanya dipinjamkan saja kepada PKR sebelum ini.

PKR pula dalam masa yang sama tetap berkeras mahu bertanding di Pengkalan Kubor atas alasan mereka yang bertanding dalam pilihanraya lalu, walaupun menyedari kekalahan 1763 undi bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhadapan dengan UMNO dalam sebuah pilihanraya kecil yang tentu saja sarat dengan pelbagai pemberian, serangan serta jentera pilihanraya pihak lawan.

Tinjauan rambang dengan beberapa pihak juga mengakui, walaupun dalam pilihanraya umum lalu, PKR yang bertanding di kerusi itu, tetapi dalam pilihahraya kecil ini harapan untuk menang lebih terbuka jika Pas yang meletakkan calon untuk berhadapan dengan UMNO berbanding dengan PKR.

Ada dakwaan lain mengatakan, ahli PKR yang berdaftar juga hanya ratusan orang saja jumlahnya di Pengkalan Kubor dan untuk menubuhkan jentera pilihanraya saja akan menimbulkan masalah jika tanpa bantuan atau sokongan daripada Pas yang mempunyai ahli dan penyokong lebih ramai.

Meskipun PKR yang bertanding di Pengkalan Kubor dalam pilihanraya lalu dan tindakan menyerahkan kepada Pas pula untuk meletakkan calon seperti PKR beralah dengan Pas, namun demi untuk mencapai kemenangan dan merampas kerusi tersebut daripada UMNO, ia dikira pertimbangan yang munasabah.

Apatah lagi kebetulan penentuan calon Pengkalan Kubor ini berlaku ketika isu Menteri Besar Selangor masih belum selesai, apa salahnya jika PKR dan Pas dapat mencapai persetujuan menang-menang dalam kedua-dua isu ini iaitu dengan PKR meminta Pas hanya mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid Ibrahim dan sebagai imbalannya, PKR menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada Pas untuk meletakkan calonnya.

Daripada membiarkan isu Menteri Besar Selangor ini terus berlarutan dan menimbulkan ketidak-tentuan, apa salahnya jika kedua parti itu segera mencapai kata sepakat mengenai situasi menang-menang ini. Akhirnya PKR dapat ketusi Menteri Besar Selangor dan Pas pula dapat kerusi Pengkalan Kubor.

Ini mungkin pilihan yang bukan saja boleh menyejukkan semula hati Pas dan PKR yang menaik suhunya ketika ini, tetapi juga untuk menjamin Pakatan Rakyat terus segar dan bernyawa untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Tiada ulasan: