HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2014

Dewan Ulamak PAS Selangor Kecam Adun Sendiri

MSTAR ONLINE


Hasnul (kiri) dan Saari dikecam kerana menyokong Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
 
 
 
PETALING JAYA: Dewan Ulamak PAS Selangor pada Ahad meluluskan usul mengecam dan mengutuk tindakan dua ahli parti itu, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dan Morib.

Kedua-dua wakil rakyat PAS itu dikecam kerana tindakan mereka menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor baharu tanpa pengetahuan dan persetujuan parti.

Menurut kenyataan Dewan Ulama PAS Selangor, usul mengecam dan mengutuk tindakan Saari dan Hasnul telah dipersetujui pada muktamarnya yang berlangsung di Dewan Al-Munirah, Klang dekat sini pada Ahad.

"(Tindakan lanjut) diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk mengambil tindakan ke atas Adun berkenaan mengikut Fasal 82, Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011," jelas kenyataan itu.

Baru-baru ini, Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar dalam satu sidang akhbar.

Sidang akhbar bersama wakil-wakil PKR dan DAP telah diadakan sebagai tanda sokongan majoriti untuk Dr Wan Azizah di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Hasnul dan Saari berkata mereka akan menyokong Dr Wan Azizah untuk menggantikan Khalid.
Sebelum itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura parti itu secara terbuka telah menyokong Khalid, yang dipecat daripada PKR.

Tiada ulasan: