HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2014

MAS: MTUC saran kerajaan patuhi kod tata laku keharmonian industri

BERNAMA


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyarankan kepada kerajaan supaya mematuhi kod tata laku keharmonian industri apabila memberhentikan pekerja Malaysia Airlines (MAS), yang sedang dilanda masalah.
  
Presidennya Khalid Atan berkata kod tata laku berusia 40 tahun itu menjelaskan pelbagai langkah yang perlu diambil apabila membuang pekerja bagi mengurangkan dengan seboleh mungkin gangguan dan kesukaran yang akan dialami pekerja dan majikan.
  
Beliau berkata sebagai majikan bertanggungjawab, kerajaan perlu memastikan kebajikan pekerja merupakan perkara yang paling diutamakan apabila melakukan penyusunan semula terhadap model perniagaan MAS.
  
Beliau berkata demikian kepada Bernama bagi mengulas rancangan Khazanah Nasional Bhd menyusun semula syarikat penerbangan kebansgaan itu, yang memerlukan pembuangan kira-kira 6,000 pekerja.
  
Khalid berkata jumlah 6,000 pekerja itu sebenarnya bersamaan dengan 30,000 orang -- jika diambil kira bahawa setiap pekerja mempunyai lima anggota keluarga -- yang akan terjejas dengan langkah penyusunan semula itu.
  
Beliau turut menggesa Khazanah Nasional mendapatkan penglibatan pemimpin kesatuan sekerja bagi membantu melaksanakan urusan itu untuk meminimumkan kesusahan yang dialami pekerja dan keluarga mereka. - Bernama

Tiada ulasan: