MALAYSIAKINI
Indeks syariah bagi mengukur pencapaian sesebuah negara dalam
melaksanakan tuntutan syarak bakal diguna pakai mulai Januari tahun
depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata indeks yang komprehensif itu sedang dibangunkan,
diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti
Islam Antarabangsa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
"Banyak sangat polemik, ada yang kata kita negara Islam dan ada yang
kata sebaliknya.. bagaimana usaha kita untuk mengisi tuntutan Islam,
syariat Islam, mesti ada ukuran yang saintifik.
"Bila ada indeks ini, kita boleh buat ukuran dan negara boleh buat
perbandingan dengan negara lain, kalau ada yang dah berjaya
Alhamdulillah, kalau masih ada kekurangan lagi kita sama-sama perbaiki,"
katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umarak dan Anugerah
Masjid Malaysia 2014 di Putrajaya hari ini.
Turut hadir pada majlis yang menghimpunkan lebih 3,000 ulama dan umarak
itu ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jakim Datuk
Othman Mustapa.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kumpulan ulama dan umarak adalah
dua kumpulan penting dan sekiranya permuafakatan jitu diwujudkan sudah
tentu sekali nasib umat Islam dan ummah akan lebih cemerlang dan
terbilang.
"Kalau ulama bersama dengan kita, kita boleh mencorak pentadbiran yang
dituntut oleh Islam bukan sahaja kemajuan tetapi pembahagiaan kekayaan
yang adil dan saksama.
"Keadilan inilah yang dituntut Islam dan saya harap ulama-ulama boleh
bantu kerajaan ke arah menyediakan masyarakat kita supaya lebih adil dan
saksama," katanya.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah saw: "Ada dua kelompok manusia,
jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika
kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama
dan umarak".
Di majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan hadiah kepada Johan
Anugerah Masjid Malaysia 2014 yang dimenangi Masjid As-Salam Puchong
Perdana, Selangor bagi kategori Masjid Kariah sementara Masjid Sultan
Yahya Petra Machang, Kelantan bagi kategori Masjid Daerah.
Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM100,000, sijil penghargaan dan piala iringan.
Anugerah Masjid Malaysia diadakan buat julung kalinya sementara Majlis Perdana Ulama-Umarak adalah edisi keempat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan