HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Ogos 2014

Kumpulan pertama jemaah haji M'sia tiba di Madinah

BERNAMA


MADINAH: Kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia bagi musim 1435 Hijrah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz di sini pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) Rabu.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 5.30 pagi waktu Malaysia.

Ketibaan mereka di Maktab Zon di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick disambut Pengerusi Muassassah Adila,  Sheikh Dr Ahmad Yusof Hawala serta Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abdul Razak.

Muassassah Adila ialah badan yang mengendalikan jemaah haji di Madinah.

Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi Alauddin Mohd Nor dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Musim 1435 Hijrah Nurrinanuwat Shamsuddin.

Seramai 22,320 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Mereka dijadual tiba dengan 39 penerbangan bermula Rabu.

Sementara itu, seramai 279 jemaah haji kumpulan kedua yang berlepas dari KLIA pada 9.05 pagi waktu Malaysia tiba tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada 12.45 tengah hari tadi.

Mereka turut ditempatkan di Maktab Zon Dua di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick.

Kumpulan ketiga 279 jemaah haji Malaysia dijangka tiba di sini pada 5.50 petang waktu  tempatan dan mereka akan turut ditempatkan di hotel sama.

Sementara itu, Sheikh Dr Ahmad Yusof mengalu-alukan kedatangan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dan berharap mereka dapat menunaikan ibadah dengan baik dan memperoleh haji mabrur.

Di KUALA LUMPUR, Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji (TH) Anis Zuhani berkata seramai 1,008 jemaah yang terdiri daripada kumpulan pertama, kedua dan ketiga telah berlepas ke Madinah hari ini.

Beliau berkata jemaah haji Malaysia menaiki penerbangan mengikut kumpulan ditetapkan itu pada 5.30 pagi, 9.05 pagi dan 2.05 petang di KLIA.

Penerbangan terakhir yang akan berlepas ke Madinah adalah pada 27 September ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS)  Ahmad Jauhari Yahya berkata MAS akan mengendalikan 39 penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah, yang berlepas dari tujuh lapangan terbang Malaysia iaitu KLIA (14 penerbangan flights), Pulau Pinang dan Johor Baharu (masing-masing enam penerbangan), Kuala Terengganu dan Alor Setar (masing-masing lima penerbangan), Kuching (dua penerbangan) dan Kota Kinabalu (satu penerbangan) dari 27 Ogos hingga 27 Sept.

"Daripada 39 penerbangan itu, MAS akan mengendalikan 22 penerbangan terus ke  Madinah dan 17 penerbangan terus ke Jeddah. Semua penerbangan haji menggunakan  dua pesawat B777-200 dengan kapasiti 282 tempat duduk," katanya di sini.

Ahmad Jauhari berkata fasa kedua operasi tanah suci itu akan bermula dari  10 Okt hingga 7 Nov.

Turut menyertai jemaah haji Malaysia tahun ini ialah 50 kakitangan MAS dan pasangan masing-masing.

Kumpulan itu akan berlepas dari KLIA ke Jeddah pada 13 Sept ini.

Ahmad Jauhari berkata MAS dan TH komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan selesa buat para jemaah.

"MAS juga menggerakkan sepasukan kakitangan yang berdedikasi untuk mengurus dan mengendalikan penerbangan haji memandangkan operasi ini memerlukan kawal selia yang unik dan amat mementingkan masa.

"Kami terus komited untuk berkhidmat dan meningkatkan reputasi Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan haji yang terbaik dan dipandang tinggi oleh dunia Islam," katanya.- BERNAMA

Tiada ulasan: