HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Ogos 2014

Kemelut Baru: Satu Nama Atau Banyak Nama? -updated

KELAB GREENBOC



 

PKR dan DAP teguh hanya Wan Azizah pengganti Khalid

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP hanya akan mencalonkan satu nama sahaja iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu malam tadi, tindakan itu diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah sultan Selangor.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“PKR dan DAP merafak sembah menjunjung kasih dan rasa syukur dengan titah Tuanku Sultan Selangor mengenai pelantikan Datuk Menteri Besar yang baru seperti kenyataan rasmi Pejabat Tuanku Sultan Selangor yang ditandatangani Datuk Mohamad Munir Bani hari ini (semalam).

“Titah Tuanku Sultan Selangor itu adalah sejajar dengan konvensi (convention) yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Datuk Menteri Besar sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Jelas Saifuddin dan Pua, PKR dan DAP menjunjung titah Tuanku Sultan Selangor itu dan akan mempersembahkan pencalonan Wan Azizah untuk dipertimbangkan Tuanku Sultan Selangor memandangkan Wan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri (termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri).

“PKR dan DAP merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara ke bawah Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menyatakan sekiranya PKR dan DAP meneruskan hasrat untuk menghantar hanya satu nama, maka krisis perebutan jawatan Menteri Besar akan berlarutan.

“Rakyat akan bertambah meluat… Ia masa terbaik untuk Pakatan Rakyat (PR) kembali duduk semeja untuk mencapai persefahaman yang mungkin gagal dicapai sebelum ini,” katanya dalam status Facebooknya. -FMT


Pakar: Sultan tiada kuasa minta banyak nama

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata tindakan sultan Selangor meminta lebih banyak nama untuk calon menteri besar adalah tidak mengikut perlembagaan kerana seorang calon yang mendapat sokongan majoriti sudahpun ditemui.

Katanya, mengikut sistem berparlimen, kerajaan bertanggungjawab kepada DUN dan bukannya kepada istana.

Jelasnya lagi, peranan istana hanyalah untuk melantik sesiapa sahaja yang mendapat sokongan majoriti Dewan.

“Majoriti adalah satu-satunya kriteria (pelantikan), maka sultan tiada kuasa untuk meminta lebih banyak nama memandangkan sudah ada majoriti,”
katanya kepada Malaysiakini.

Istana Selangor semalam mengeluar kenyataan bahawa baginda menangguhkan peletakan jawatan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga seorang menteri besar baru dilantik.

Sultan Selangor turut meminta agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat – PKR, DAP dan PAS – masing-masing menamakan dua calon sebagai pengganti jawatan tersebut.
-mk

Krisis MB: Minta lebih nama tidak ikut Perlembagaan, kata peguam

Sultan Selangor akan dilihat seperti bertindak di luar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor kerana meminta lebih nama calon menteri besar apabila sudah jelas majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjawat jawatan itu, kata peguam Perlembagaan.

Mereka berkata, Artikel 53 (2) (a) Undang-undang Tubuh Selangor memberikan panduan kepada pihak berkuasa negeri dan undang-undang bertulis berdasarkan konvensi.

Katanya, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Adun bertindak berdasarkan undang-undang jika mereka hanya memilih Dr Wan Azizah sebagai calon mereka.

Prof Madya Dr Azmi Sharom daripada Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya berkata, Undang-undang Tubuh menyatakan pemerintah perlu melantik Adun yang memperolehi keyakinan majoriti Adun. "Sultan perlu berpandu kepada undang-undang negeri," katanya.

Azmi berkata, undang-undang bertulis perlu diutamakan dan di Selangor terdapat dokumen untuk dijadikan panduan.

"Jika Dewan Undangan Negeri (DUN) jelas menunjukkan keyakinan kepada satu orang, dia adalah calon yang perlu dilantik,"
katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam PR perlu mengemukakan lebih daripada dua calon menggantikannya untuk dihantar ke istana.

PR mengemukakan nama Dr Wan Azizah ke istana walaupun PAS, salah satu parti komponen menolak untuk menyokong pencalonan itu.

Sehingga kini Dr Wan Azizah masih menunggu untuk diperkenan mengadap Sultan.

Adun Kajang itu mendapat sokongan 29 daripada 56 wakil rakyat dalam DUN untuk mengambil jawatan tertinggi di negeri terkaya di negara ini.

Peguam Syahredzan Johan berkata Sultan Selangor mempunyai budi bicara tetapi hanya terhad kepada situasi di mana ia tidak jelas pihak yang memiliki kepercayaan serta keyakinan majoriti.

"Dalam kes ini jelas salah seorang ahli Dewan mendapat sokongan majoriti, maka orang itu hendaklah dilantik," katanya.

Katanya, ini bermakna, Dr Wan Azizah sepatutnya adalah menteri besar yang sah kerana disokong 29 Adun yang lain.

Beliau berkata, melalui konvensyen, Sultan hanya melantik ketua kerajaan daripada gabungan yang memenangi kerusi terbanyak.

"Ia adalah PR di Selangor," katanya.

Pada 14 Ogos, Dr Wan Azizah menunjukkan bukti 30 wakil rakyat menyokongnya untuk menggantikan Khalid.

DUN Selangor terdiri daripada 56 ahli - DAP (15), PAS (15) PKR (13) Barisan Nasional (12) dan Khalid bebas.

Dua wakil rakyat PAS secara terbuka menyuarakan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar.

Profesor Gurdial Singh Nijar daripada Fakulti Undang-undang Universiti Malaya berkata kemelut MB Selangor selesai dengan peletakan jawatan Khalid.

Beliau berkata, kenyataan istana itu menjelaskan setiap parti komponen dalam PR perlu mengemukakan lebih 2 calon untuk pertimbangan berdasarkan amalan konvensional yang sedia ada.

Katanya, perlembagaan Selangor mencerminkan peruntukan yang serupa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Gurdial berkata, Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kepada model Westminster United Kingdom dan ia mungkin petunjuk untuk mencerminkan amalan di UK dalam pemilihan perdana menteri apabila penyandang meletak jawatan.

"Pada hakikatnya hak Ratu ditadbir oleh konvensyen perlembagaan berasaskan keperluan politik baginda hendaklah melantik perdana menteri itu seorang lelaki atau perempuan yang boleh membentuk kerajaan yang menerima keyakinan Dewan.

"Biasanya konvensyen ini jelas menunjukkan pemimpin parti, yang mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan, mempunyai hak yang tidak dapat dinafikan untuk dilantik," katanya.

Gurdial berkata, dalam kes di mana setiap pihak yang mempunyai cara mereka sendiri untuk memilih pengganti, tidak ada ruang untuk Ratu melaksanakan budi bicara.

"Peraturan utama adalah untuk tidak melibatkan raja dalam kontroversi atau rundingan politik," katanya. –
-TMI


PAS akan hantar lebih dari satu nama

PAS akan mempersembahkan tidak kurang dari dua nama kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon menteri besar yang baru.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, ia sebagai menghormati dan menjunjung titah baginda melalui kenyataannya semalam, lapor Harakahdaily.

"PAS menghormati titah Tuanku dan kita akan menghantar tidak kurang dari dua nama," beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar web PAS itu.

Bagaimanapun menurut Mustafa lagi, PAS masih menunggu surat pemakluman rasmi daripada istana dan sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan selepas itu.

"Surat tersebut biasanya ada dinyatakan deadline (tarikh akhir). Kita akan respons selepas mendapat surat tersebut.

"Saya tak fikir perlu mesyuarat (jawatankuasa Pusat) yang baru. Kita sudah ada gambaran daripada mesyuarat sebelum ini.

"Apapun perbincangan tak rasmi kita akan buat untuk mendapatkan pandangan," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar itu.

Berbeza dengan PKR & DAP

PAS sebelum ini mencadangkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di samping presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail tetapi Pakatan akhirnya memutuskan menerima Azizah sahaja.

Langkah PAS untuk mencadangkan tidak kurang daripada dua nama itu berbeza dengan pendirian dua lagi rakannya dalam Pakatan – PKR dan DAP – yang hanya mencalonkan Azizah.

Menurut kenyataan bersama PKR dan DAP semalam, tindakan itu diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah sultan Selangor.

Menurut mereka, istana tahun lalu meminta lebih daripada satu nama tetapi mereka hanya menamakan Khalid dan akhirnya diperkenan sultan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata perkara itu tidak “tepat kerana” dan Pakatan tidak hanya mencalonkan satu nama, iaitu dirinya semata-mata, sebagai menteri besar Selangor kepada istana selepas pilihan raya umum tahun lalu.
-mk

ULASAN GB

Bergelut lagi nampaknya.

Sepatutnya kena jengah dulu Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.


Fasal 53(2)(a) memperuntukkan bahawa Sultan perlulah melantik seorang ahli Dewan yang pada hematnya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

Menurut pandangan seorang peguam, apa saja budibicara Tuanku Sultan untuk melantik seorang Menteri Besar tidak boleh melanggar Fasal 53(2)(a) kerana seseorang Menteri Besar mesti mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

Cuma sekarang ini PR berpecah. PKR & DAP hantar 1 nama, PAS hantar banyak nama. Dalam keadaaan apa pun, "nama" itu perlulah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan. Yang jelas sekarang ini, yang dah dapat sokongan majoriti ahli dewan ialah 1 nama saja iaitu.... (anda tahu sendiri).

Tiada ulasan: