Dr Hafidzi  
Dr Hafidzi


SHAH ALAM - Aqsa Syarif meminta orang ramai mengawal emosi dan tidak melanggar undang-undang dalam melaksanakan kempen memboikot produk atau barangan berkaitan rejim Zionis.

Pengerusinya, Dr Hafidzi Mohd Noor dalam satu kenyataan melahirkan kekesalan atas tindakan ganas sekumpulan orang ramai terhadap sebuah premis McDonald's di Dungun, semalam.

"Perbuatan sekumpulan orang yang mengganggu premis McDonald's dan membaling objek keras serta menggoncang pintu kedai adalah amat dikesali.

"Perbuatan tidak bertamadun ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ia bertentangan dengan tata susila, akhlak Islam dan lunas undang undang," katanya.

Tegasnya lagi, tindakan tersebut hanya menyerupai kepada perbuatan merosakkan harta benda awam dan tidak tergolong dalam inisiatif menyokong boikot.

"Sungguhpun  boikot adalah hak pengguna melakukan tindakan sivil sebagai tekanan namun ia tidak mewajarkan seseorang itu bertindak secara fizikal atau lisan untuk menakut-nakutkan serta mendatangkan kecederaan batang tubuh atau emosi pada pemilik premis dan pekerjanya.

"Aqsa Syarif memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot supaya mengawal diri dan tidak melanggar batas undang-undang dalam menjayakan kempen boikot.

"Tindakan liar dan melampau ini tidak tergolong sebagai menyokong inisiatif boikot, sebaliknya lebih mirip kepada perbuatan merosakkan harta awam (vandalisme)," katanya.

Aqsa Syarif turut menasihatkan agar tiada sebarang bentuk demonstrasi atau perhimpunan dijalanlkan di hadapan atau berhampiran mana-mana premis yang berkaitan.